TANJUNG MALIM – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Slim River, dekat sini, pada 1 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Khalid Mohamad berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan pada jam 11.20 malam di Rawang, Selangor.
Menurutnya, tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis pada 1 Julai lalu daripada seorang wanita tempatan berusia 22 tahun yang mendakwa disamun dua lelaki tidak dikenali dalam kejadian kira-kira jam 1.49 pagi.
Katanya, suspek yang bersenjatakan pisau telah merampas wang tunai, barang kemas serta dua telefon bimbit milik mangsa, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM4,800.
“Hasil siasatan dan risikan lanjut, polis berjaya menahan lelaki terbabit dan merampas sebuah motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek ditemani selama enam hari sehingga 19 Ogos ini bagi membantu melengkapkan siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata,” ujarnya.
Sehubungan itu, Khalid menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan, khususnya ketika berada di premis perniagaan pada waktu malam dan awal pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki ditahan samun warga emas bersenjatakan parang


