PUTRAJAYA – DAP hari ini memuktamadkan pendirian untuk terus kekal berada dalam blok pentadbiran Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen ke-16.
Keputusan itu dicapai menerusi usul khas yang dibentangkan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Sebanyak 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan di seluruh negara mengundi usul berkenaan menerusi kaedah kertas undi rahsia bagi memastikan ketelusan serta integriti proses, sekali gus membolehkan keputusan dibuat secara demokratik berbanding kelaziman undian suara atau kaedah mengangkat tangan.
Keputusan rasmi pengundian itu diumumkan oleh Yang Dipertua Persidangan Cha Kee Chin yang menyaksikan majoriti perwakilan memberikan mandat kepada parti untuk meneruskan kerjasama dalam kerajaan.
Berdasarkan keputusan pengundian, sebanyak 1,857 perwakilan menyokong untuk kekal, manakala 242 undi memilih untuk keluar dan tujuh undi rosak daripada keseluruhan 2,106 kertas undi yang dikeluarkan.
Ketika ini, DAP mempunyai lima menteri penuh yang menganggotai barisan Kabinet iaitu Loke sebagai Menteri Pengangkutan, Steven Sim (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Gobind Singh Deo (Menteri Digital), Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) serta Hannah Yeoh yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Selain itu, tujuh pemimpin DAP memegang jawatan Timbalan Menteri iaitu Teo Nie Ching (Kementerian Komunikasi), Datuk Chan Foong Hin (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Wong Kah Woh (Kementerian Pendidikan) dan Liew Chin Tong (Kementerian Kewangan).
Yang turut tersenarai ialah M. Kulasegaran sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Lim Hui Ying (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), dan Mordi Bimol (Kementerian Belia dan Sukan).
Cha berkata berdasarkan data awal, sebanyak 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan di seluruh negara sepatutnya menghadiri persidangan kali ini dan layak mengundi.
Beliau berkata bagaimanapun hanya 2,223 perwakilan atau 52.1 peratus hadir bagi proses pengundian itu.
“Jumlah yang menyokong iaitu 1,857 perwakilan adalah bersamaan 88.2 peratus daripada keseluruhan yang hadir,” katanya.
— BERNAMA


