KUALA LUMPUR – DAP perlu membuktikan secara jelas melalui dasar serta tindakan bahawa parti itu benar-benar menghormati kedudukan orang Melayu, bahasa Melayu, Institusi Raja-Raja Melayu dan hak bumiputera seperti yang ditegaskan pemimpin Melayu DAP, Badarul Hisham.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Azrol Mansor berkata, kenyataan Badarul Hisham yang dilapor menegaskan, DAP menghormati institusi raja, bahasa Melayu dan keistimewaan orang Melayu perlu dinilai secara serius, bukan sekadar dijadikan strategi membina imej politik menjelang pilihan raya.
Menurutnya, persoalan utama ialah sama ada pendirian berkenaan benar-benar mewakili pendirian keseluruhan DAP atau sekadar pandangan seorang pemimpin Melayu dalam parti tersebut.
“Persoalan ini penting kerana DAP mempunyai rekod sejarah yang tidak boleh dipisahkan daripada Deklarasi Setapak 1967 yang antara lain mengangkat prinsip kesamarataan etnik sebagai asas perjuangan.
“Jika benar DAP sudah berubah, perubahan itu perlu dibuktikan melalui dasar, tindakan dan komitmen yang jelas, bukannya sekadar ucapan yang sedap didengar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrol berkata, Perkasa tidak menolak hak mana-mana parti politik untuk berubah atau memperbaharui dasar, namun perubahan pendirian perlu disertai bukti yang meyakinkan rakyat.
Katanya, masyarakat Melayu selama ini berdepan pelbagai naratif yang dilihat cuba mempertikaikan kedudukan sejarah, bahasa, budaya, Institusi Raja serta hak yang diberikan perhatian khusus dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Mempertahankan kedudukan orang Melayu bukan bermaksud menafikan hak kaum lain.
“Mempertahankan bahasa Melayu bukan bermaksud menghapuskan bahasa lain, manakala mempertahankan Institusi Raja bukan bermaksud menolak demokrasi.
“Begitu juga mempertahankan hak bumiputera tidak bermaksud rakyat bukan Bumiputera tidak mempunyai tempat dalam negara ini,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, Perkasa mahu DAP menjelaskan pendirian semasanya terhadap Deklarasi Setapak 1967 yang menurutnya merupakan sebahagian daripada sejarah dan asas perjuangan parti berkenaan.
Azrol turut mempersoalkan sama ada DAP masih berpegang kepada prinsip deklarasi tersebut dan bagaimana ia ditafsir dalam konteks kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jika tidak, adakah DAP secara rasmi telah meninggalkan atau mengubah pendirian yang terkandung dalam Deklarasi Setapak?
“Jangan biarkan rakyat terus diberikan slogan yang berubah mengikut keadaan politik,” katanya.
Azrol berkata, jika DAP benar-benar menghormati orang Melayu, parti itu perlu menyatakan komitmen secara jelas terhadap tujuh perkara.
Antaranya kata beliau, menghormati kedudukan Islam dalam Persekutuan seperti diperuntukkan Perlembagaan, menghormati Institusi Raja-Raja Melayu, memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera.
Selain itu, katanya, DAP juga perlu memastikan dasar berkaitan peluang ekonomi, pendidikan dan pembangunan Bumiputera tidak dijadikan sasaran untuk dihapuskan atas nama kesamarataan.
“DAP juga perlu menolak sebarang usaha memadam sejarah pembentukan negara dan tidak menggunakan naratif kesamarataan sebagai alasan untuk menghakis perlindungan serta kedudukan yang telah dibentuk melalui sejarah dan Perlembagaan negara,” katanya.
Azrol turut memberi amaran bahawa usaha menghakis kedudukan Melayu tidak semestinya hadir dalam bentuk serangan terbuka, sebaliknya boleh muncul melalui istilah seperti kesamarataan, meritokrasi, ‘Malaysian Malaysia’ atau hak sama rata.
Menurutnya, Perkasa tidak menolak prinsip keadilan, namun keadilan tidak boleh ditafsir dengan memadam sejarah, mengabaikan realiti atau menafikan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Melayu bukan bodoh. Melayu bukan mudah dibeli dengan retorik. Melayu mahu melihat bukti.
“Kalau DAP benar-benar berubah, buktikan. Kalau DAP benar-benar menghormati keistimewaan Melayu, nyatakan secara rasmi,” tegasnya.
Beliau menegaskan, Perkasa tidak akan berdiam diri sekiranya wujud usaha yang boleh membawa kepada penghakisan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.
“Jika benar DAP sudah berubah, buktikan dengan dasar. Jika benar DAP menghormati Melayu, buktikan dengan tindakan.
“Jika benar DAP menghormati Perlembagaan, jangan ada lagi naratif yang menghakis kedudukan Melayu,” tambahnya. – MalaysiaGazette


