TANJUNG MALIM – Atlet olahraga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Danish Iftikhar Muhammad Roslee, mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul tiga pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Kejayaan penuntut Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan itu sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai Raja Pecut SUKMA 2026.
UPSI dalam satu kenyataan memaklumkan Danish Iftikhar yang mewakili kontinjen Johor terlebih dahulu mempertahankan kejuaraan acara 100 meter (m) lelaki dengan catatan 10.27 saat (s) pada aksi final di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), mengulangi kejayaan yang dilakukannya pada SUKMA Sarawak 2024.
Katanya, catatan 10.27s itu bukan sahaja menghadiahkan emas buat Johor, malah membuktikan konsistensi pelari pecut muda berkenaan selepas mengharungi musim yang mencabar di pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Lebih membanggakan, Danish Iftikhar kemudian membantu kuartet Johor yang dibarisi Mohamad Haziq Ilmani Osman, Muhamad Airiel Iskandar Rusli dan Adam Harith Hairulaydel memenangi emas acara 4x100m lelaki dengan catatan 39.46s, sekali gus mencipta rekod baharu SUKMA.
“Catatan itu memadam rekod lama 39.89s yang dicipta kuartet Melaka pada SUKMA Sarawak 2016, sekali gus mencipta rekod baharu dalam acara 4x100m lelaki di pentas SUKMA.
“Danish Iftikhar kemudian melengkapkan koleksi tiga emasnya selepas menjuarai acara 200m lelaki dengan catatan 20.85s iaitu rekod baharu Sukma 2026, sekali gus menguasai dua acara pecut individu utama pada temasya berkenaan,” katanya.
Sementera itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff dalam kenyataan sama berkata, kejayaan Danish Iftikhar membuktikan bahawa pendidikan tinggi dan pembangunan sukan berprestasi tinggi mampu bergerak seiring dalam melahirkan atlet mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam arena sukan, malah mampu mengharumkan nama universiti dan negara.
“UPSI amat berbangga dengan pencapaian Danish Iftikhar yang berjaya membuktikan keupayaannya di pentas SUKMA dan antarabangsa. Kejayaan ini adalah hasil disiplin, komitmen serta kesungguhan beliau dalam menjalani latihan dan pada masa sama meneruskan pengajian.
“Lebih membanggakan, Danish Iftikhar bukan sekadar mempertahankan kejuaraan 100m, malah berjaya membantu pasukan Johor mencipta rekod baharu SUKMA dalam acara 4x100m,” katanya.
Kejayaan tiga emas tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan Danish Iftikhar sebagai antara prospek utama olahraga pecut negara, selain menjadi bukti kemampuan atlet mahasiswa UPSI untuk menyerlah dalam arena sukan berprestasi tinggi. -MG Perak


