BATU GAJAH – Kira-kira 20 peratus peniaga baharu pasar malam di bawah Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak (PPKMP) merupakan individu yang kehilangan pekerjaan.
Presiden PPKMP, Alfirzamunira Abdul Muin berkata, trend tersebut semakin ketara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berterusan dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, golongan berkenaan tampil ke persatuan untuk memohon tapak berniaga di pasar malam sebagai sumber pendapatan baharu selepas kehilangan pekerjaan.
“Ramai yang kehilangan pekerjaan mereka datang persatuan untuk memohon berniaga di pasar malam dan kita akan beri tapak.
“Lebih kurang 20 peratus (peniaga baharu) dan trend ini berlaku sejak PKP dan dua tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.
Beliau bekata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Semangat Merdeka dan Kempen Pasar Malam Hijau di Pasar Malam Jalan Pandak Akhat, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Alfirzamunira berkata, operasi pasar malam di bawah kendalian PPKMP ketika ini berada pada tahap baik meskipun berdepan keadaan ekonomi semasa.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada peniaga dan pengunjung, malah Pasar Malam Jalan Pandak Akhat di sini disifatkan antara pasar malam terbaik di daerah Kinta.
“Alhamdulillah, operasi dan maklum balas daripada peniaga serta pengunjung sangat baik. Pasar Malam Pandak Akhat sendiri merupakan antara pasar malam yang terbaik di daerah Kinta.
“Tiada peniaga yang menarik diri, malah jumlahnya semakin bertambah,” katanya.
Menurutnya, PPKMP kini menaungi kira-kira 600 peniaga di medan atau pasar malam di sekitar daerah Kinta.
Bagaimanapun, katanya, kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan peniaga berdepan keadaan yang menyebabkan mereka tidak lagi mampu meneruskan perniagaan.
Beliau berkata, keadaan itu bagaimanapun tidak menjejaskan keseluruhan operasi pasar malam kerana kekosongan tapak dapat diisi oleh peniaga baharu. -MG Perak


