MANJUNG – Tahap kesiapsiagaan dan kecekapan agensi tindak balas kecemasan diuji menerusi simulasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 216.6 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah utara, di sini, pada Rabu.
Simulasi yang dilaksanakan West Coast Expressway Sdn. Bhd. pada kira-kira 10.25 pagi itu melibatkan lokasi antara Persimpangan Sitiawan Utara dan Persimpangan Changkat Chermin.
WCE dalam satu kenyataan berkata, simulasi berkenaan bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan, koordinasi serta keberkesanan tindak balas semua agensi dalam menghadapi situasi kecemasan di lebuh raya.
Katanya, rentetan itu sebahagian laluan arah utara ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja simulasi penyelamatan, pengalihan kenderaan dan kawalan keselamatan dijalankan dengan laluan kontra turut diaktifkan bagi menguji keupayaan pengurusan serta pengaliran trafik sekiranya berlaku insiden kecemasan sebenar.
“Simulasi ini melibatkan kerjasama pasukan Emergency Response Team (ERT) WCE, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) HAZMAT, Hospital Manjung, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Turut terlibat adalah rakan logistik Swift Integrated Logistics Sdn Bhd (SILS) dan Air Liquide Malaysia (ALM) bagi menguji tahap kesiapsiagaan, koordinasi dan keberkesanan tindak balas agensi-agensi terlibat dalam menghadapi situasi kecemasan di lebuh raya,” katanya.
Jelasnya lagi pelaksanaan simulasi tersebut tidak dihebahkan kepada umum terlebih dahulu bagi membolehkan tahap kesiapsiagaan, koordinasi dan keberkesanan tindak balas semua agensi keselamatan serta penguatkuasaan yang terlibat diuji dalam keadaan yang lebih realistik.
“Simulasi ini telah dilaksanakan sebagai Latihan Mengejut (Unannounced Drill) tanpa hebahan awam terlebih dahulu.
“Langkah ini diambil bagi membolehkan tahap kesiapsiagaan, kecekapan masa respons, dan koordinasi sebenar kesemua agensi keselamatan diuji sepenuhnya tanpa sebarang persediaan awal,” katanya.
Tambahnya, WCE turut menghargai kerjasama dan kesabaran semua pengguna lebuh raya sepanjang pelaksanaan simulasi ini.
“Langkah ini penting bagi memastikan prosedur tindak balas kecemasan sentiasa berada pada tahap optimum serta dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan sekiranya berlaku insiden sebenar,” katanya. -MG Perak


