IPOH – Tindakan segelintir pemilik motosikal membuang brek belakang bukan sahaja mengabaikan keselamatan semasa di jalan raya malah seolah-olah mempertaruhkan nyawa sendiri ketika menunggang.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, kesalahan itu dikesan pihaknya melalui Ops Motosikal Ekstrem yang dijalankan bermula 1 Januari hingga 19 Ogos 2026.
Menurut beliau, pengubahsuaian sistem brek merupakan kesalahan ekstrem dan paling membimbangkan yang dikesan dalam operasi berkenaan kerana ia boleh menjejaskan kecekapan membrek serta meningkatkan risiko kemalangan.
“Paling menakutkan, sistem brek telah diubah suai hingga membuang brek belakang, yang ada brek hadapan sahaja.
“Mungkin cepat untuk menemui Tuhan,” katanya kepada pemberita pada sidang media Op Motosikal Ekstrem dan Op Luxury JPJ Perak di JPJ Negeri Perak, di sini, pada Khamis.

Tambahnya, JPJ Perak juga mendapati beberapa kesalahan ekstrem lain dilakukan pemilik motosikal yang ditahan iaitu pengubahsuaian tayar yang dikenali sebahai ‘tayar sotong’ iaitu menggunakan tayar yang terlalu kecil, tidak mengikut spesifikasi asal.
“Ada juga dalam motosikal yang kita tahan berkaitan penggunaan ekzos yang telah diubahsuai yang dikenali sebagai ‘ekzos senapang’ atau ‘ekzos perang’ yang menghasilkan bunyi yang melebihi had yang dibenarkan.
“Malah ada dalam kalangan mereka ini menghabiskan wang sehingga RM15,000 untuk memasang eksos jenis ini,” katanya.
Katanya, kesemua pengubahsuaian itu memberi kesan kepada kestabilan motosikal, kecekapan membrek serta meningkatkan risiko kemalangan.
“JPJ Negeri Perak akan meneruskan Ops Motosikal Ekstrem secara berkala di seluruh negeri. Tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana individu yang sengaja melakukan pengubahsuaian berbahaya sehingga mengancam keselamatan awam.
“Sekiranya didapati melanggar undang-undang, tindakan termasuk penyitaan motosikal akan diambil mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -MG Perak


