1,433 spesies biodiversiti dikenal pasti sepanjang BTA2026

GERIK – Sebanyak 1,433 spesies biodiversiti berjaya dikenal pasti sepanjang ekspedisi Banding Trail Adventure 2026 (BTA2026) yang berlangsung selama empat hari di Pulau Banding, dekat sini, sekali gus membuktikan kekayaan biodiversiti negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pencapaian tersebut turut membolehkan BTA2026 menerima pengiktirafan ASEAN dan Asia Records, sekali gus menjadi satu pencapaian membanggakan dalam usaha pemuliharaan biodiversiti negara.

Beliau berkata pendekatan program berkenaan juga selari dengan aspirasi pemuliharaan biodiversiti negara yang menyokong pelaksanaan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030.

“Pendekatan ini memberi penekanan kepada pemuliharaan biodiversiti, penggunaan sumber secara lestari, perkongsian manfaat yang adil serta pengukuhan penyelidikan dan pembangunan ilmu pengetahuan.

“Pada hari ini kita telah merekodkan satu pencapaian yang sangat membanggakan dalam BTA 2026 di mana ekspedisi selama empat hari ini telah berjaya mengenal pasti sebanyak 1,433 spesies dan mendapat pengiktirafan di peringkat ASEAN dan juga Asia Records,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penutupan Banding Trail Adventure 2026 (BTA 2026) dan penyampaian Pengiktirafan ASEAN dan Asia Records di Belum Rainforest Resort, Pulau Banding, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut Arthur berkata, Malaysia sememangnya dikenali sebagai negara mega biodiversiti berikutan kekayaan flora dan fauna yang dimiliki negara.

Katanya, antara syarat untuk sesebuah negara dikategorikan sebagai negara mega biodiversiti ialah mempunyai lebih daripada 5,000 spesies flora, sedangkan Malaysia mempunyai lebih 15,000 spesies flora.

“Seperti kita juga, Malaysia menjadi gedung kepada flora dan fauna untuk seluruh dunia. Maka sangat penting usaha-usaha konservasi yang kita usahakan bagi negara kita.

“Usaha pemuliharaan biodiversiti tidak boleh digalas kerajaan semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk golongan akademik, penyelidik, pengkaji serta pengamal media.

“Kita juga memerlukan kerjasama dan usaha daripada semua pihak, daripada pihak akademik, penyelidik, pengkaji termasuk juga rakan-rakan media untuk membantu memberi liputan kepada usaha kita,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan BTA2026 membuktikan bahawa pendekatan melibatkan pelbagai pihak mampu menghasilkan data dan penemuan penting dalam usaha mengenal pasti kekayaan biodiversiti negara.

Arthur turut berharap usaha yang dilaksanakan di kawasan Hutan Hujan Belum akan terus dipertingkatkan bagi memastikan khazanah biodiversiti di kawasan berkenaan dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

“Saya harap usaha di bawah Belum Rainforest ini akan sentiasa dipertingkatkan dan kami daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan sentiasa memberi kerjasama secara ‘whole of nation’ dan juga ‘whole of society approach’ untuk kita sama-sama mencapai aspirasi kita,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI