GERIK – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengingatkan warga pendidik yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) mengekalkan kecemerlangan serta menjadi contoh kepada guru lain.
Saarani berkata, pengiktirafan yang diberikan kepada warga pendidik perlu dilihat sebagai satu penghormatan yang disertai tanggungjawab mengekalkan prestasi terbaik secara berterusan.
Beliau turut berkongsi kisahnya semasa menjadi Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) satu ketika dahulu di mana terdapat seorang pengetua menganjurkan pertandingan kelas bersih dengan memberi hadiah berupa jam dinding kepada kelas yang menang setiap bulan.
Katanya, kelas yang sudah memenangi pertandingan pada bulan sebelumnya tidak dibenarkan menyertai pertandingan pada bulan berikut bagi memberi peluang kepada kelas lain menerima hadiah.
“Bulan Januari kelas A1 menang dan mendapat jam dinding. Tetapi ada syarat di mana kelas A1 tidak boleh bertanding pada bulan Februari kerana mahu memberi peluang kepada kelas lain.

“Begitu juga apabila kelas A3 menang pada Februari kelas A1 dan A3 tidak boleh bertanding pada bulan Mac sehingga akhirnya semua kelas mendapat jam masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak Tahun 2025 di Dewan Dato’ Haji Hasbullah Bin Haji Osman, PPD Hulu Perak, di sini, pada Jumaat.
Pada majlis berkenaan seramai 180 warga pendidik daerah Hulu Perak menerima APC sebagai penghargaan terhadap khidmat cemerlang yang diberikan mereka sepanjang tahun lalu.
Bercerita lanjut, Saarani berkata, proses berkenaan berterusan sehinggalah semua kelas memenangi jam dinding namun apa yang berlaku kelas-kelas yang menerima hadiah di peringkat awal mula mengabaikan kebersihan selepas tidak lagi menyertai pertandingan.
“Pada bulan ketiga, kelas A1 sudah comot. Kelas A3 pada bulan keenam pula comot. Kenapa? Sebab mereka bertanding untuk menang tetapi tidak mempertahankan kebersihan yang menjadi asas kepada pertandingan itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penerima APC supaya tidak mengulangi keadaan sama dengan menganggap pengiktirafan yang diterima sebagai kemuncak kepada kecemerlangan.
Beliau berkata, sebaliknya penerima anugerah perlu membuktikan mereka sememangnya layak menerima pengiktirafan itu dengan mengekalkan prestasi, integriti dan mutu perkhidmatan pada tahap terbaik.
“Kita harap apa yang diberi hari ini satu penghormatan, pengiktirafan dan tanggungjawab yang perlu dipertahankan kecemerlangan yang telah dipersembahkan kerana ramai lagi di luar sana bertanya mengapa mereka tidak dapat (APC).
“Tapi dia belajar cikgu yang dapat itu jauh lebih baik daripada dia dan dia ingin belajar dengan cikgu itu, ingin mencontohi cikgu yang menang pada hari ini.
“Jadi, cikgu yang menang ini jangan jadi seperti kelas A1 tadi kerana ia sudah bercanggah dengan tujuan kita memberikan pengiktirafan,” katanya.
Saarani turut merakamkan penghargaan kepada PPD Hulu Perak atas penganjuran majlis berkenaan sebagai tanda penghormatan kepada warga pendidikan yang telah memberikan khidmat terbaik sepanjang tahun lalu. -MG Perak


