IPOH – Dewan Belia Perak perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan anak muda negeri ini bersedia merebut peluang pekerjaan dan perniagaan yang bakal terhasil daripada pertumbuhan ekonomi serta pelaburan baharu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peranan itu penting bagi merapatkan jurang maklumat, kemahiran dan akses golongan muda kepada industri.
Menurutnya, dalam tempoh lima tahun yang sama, Perak akan berubah dengan projek yang sedang dibangunkan akan mula beroperasi.
“Pelaburan yang hari ini kita umumkan akan menjadi kilang, pusat industri dan perniagaan. Pekerjaan yang hari ini masih berada di atas kertas akan memerlukan manusia untuk mengisinya.
“Perubahan itu sudah pun bermula. Ekonomi Perak berkembang 5.7 peratus kepada RM91.5 bilion pada tahun 2025, manakala sektor pembuatan mencatat pertumbuhan 15.2 peratus.
“Pelaburan diluluskan pula mencecah RM15.76 bilion dan dijangka mewujudkan 10,704 peluang pekerjaan.
“Kita mahu apabila industri berkembang, anak Perak bekerja di dalamnya, usahawan tempatan masuk ke dalam rantaian bekalannya dan lebih ramai anak muda mempunyai peluang membina masa depan di negeri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kedua Persidangan Dewan Belia Perak Sesi Kelima di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah.
Dalam pada itu, Saarani berkata, peluang sahaja tidak mencukupi jika belia di negeri ini tidak mengetahui jenis pekerjaan yang sedang diwujudkan akibat terdapat jurang maklumat.
“Jika mereka mengetahui peluang berkenaan tetapi tidak mempunyai kemahiran diperlukan, ia pula menjadi jurang kemahiran.
“Pada masa sama, sekiranya mereka sudah mempunyai kemahiran tetapi masih sukar memasuki industri, perkara yang menghalang mereka perlu dikenal pasti dan ditangani.
“Di sinilah Dewan Belia Perak boleh membantu dengan mendekati pelajar yang sedang memilih haluan, graduan yang sedang mencari pekerjaan dan anak muda yang mahu memulakan perniagaan,” ujarnya.
Katanya, Dewan Belia Perak perlu mendekati golongan berkenaan bagi mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai pengalaman mereka, selain mengenal pasti halangan yang masih dihadapi anak muda negeri itu untuk mengambil peluang yang tersedia. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


