GERIK – Jabatan Perikanan Negeri Perak merancang mewujudkan pusat konservasi ikan loma di Tasik Temenggor sebagai usaha memulihkan semula populasi spesies berkenaan serta menjamin bekalan masa hadapan.
Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan kewangan untuk melaksanakan program pembenihan ikan loma dalam memastikan kelangsungan spesies berkenaan.
“Kalau kita lihat, ikan loma ini satu hot species yang ditangkap oleh nelayan terutama di Sungai Rui dan tradisi di situ ialah mengambil telur loma.
“Jadi mana-mana aktiviti mengambil telur ini sebenarnya akan mengganggu populasi ikan sebab tidak ada anak yang akan keluar selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir merasmikan program Randuk For Lampam Volume 5, di Sahom Valley Resort, di sini, pada Sabtu.
Hadir merasmikan program tersebut, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi.

Mohd Ghazali berkata, program pembenihan yang dilaksanakan dengan peruntukan berkenaan telah berjaya menghasilkan benih ikan loma dan berada diperingkat asuhan.
“Cuma sekarang dalam peringkat asuhan kita masih belum sukses 100 peratus dan kalau kita berjaya dalam tahun ini kita akan buat pelepasan.
“Maknanya akan ada semula ikan loma terutama di kawasan Tasik Temenggor yang mana sebelum ini spesis ikan ini pernah wujud di situ namun ia telah pupus.
“Kita juga mahu mewujudkan kembali ikan loma di Tasik Temenggor dan menjadikan ia sebagai stok ikan air tawar di Perak,” katanya.
Tambahnya, buat masa ini populasi ikan loma masih terdapat di kawasan Empangan Bersia dan Kenering serta Sungai Rui di Gerik namun terdapat beberapa faktor gangguan termasuk keadaan ekosistem hingga menjejaskan perkembangan populasinya di kawasan tersebut.
“Jadi kita nampak ada keperluan dan kita sudah kenal kawasan mana cuma kejayaan program pembenihan itu akan disokong dengan program pelepasan umum akan wujud kawasan santuari ikan air tawar yang besar di Taman Negeri Royal Belum,” katanya. -MG Perak


