10 tahun di rumah buluh usang, bapa tunggal lega terima rumah baharu

TAPAH – Kehidupan serba kekurangan membesarkan tiga anaknya menjadi halangan kepada bapa tunggal, Raas Basresh, 36 untuk menyediakan kediaman selesa buat mereka sekeluarga.

Dia yang hanya memperoleh pendapatan sekitar RM20 hingga RM40 sehari terpaksa tinggal di rumah uzur yang diperbuat dari buluh selama 10 tahun di Kampung Orang Asli Batu 9, Jalan Pahang di sini.

Katanya, dia dan anak-anak berusia 11, sembilan dan tujuh tahun kemudiannya terpaksa menumpang dikediaman jirannya selepas rumah mereka berlubang dan hampir roboh.

Raas berkata, bagi menyara keluarga, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mengambil pucuk paku, menangkap rama-rama dan mengambil upah memotong rumput bergantung kepada peluang yang ada.

“Saya kerja sendiri, kadang-kadang ambil pucuk paku, kadang tangkap rama-rama dan kadang-kadang ambil upah dengan orang mesin rumput.

“Pendapatan sehari pun RM40, RM20. Anak-anak pula perlukan duit sekolah dan makan. Kalau saya nak dapatkan rumah sendiri, bukan tidak boleh tetapi tidak tahulah berapa lama masa yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Serahan Kunci Rumah Baharu kepada Warga Orang Asli di Batu 9, Jalan Pahang, di sini, pada Sabtu.

Hadir pada majlis berkenaan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan.

Bercerita lanjut, Raas berkata, dia kemudiannya nekad memohon bantuan untuk membina rumah baharu daripada Saravanan demi keselesaan mereka sekeluarga.

Raas Basresh

“Saya cuba memohon bantuan dari Datuk Seri Saravanan sebab rumah kami sudah usang, berlubang, tidak selamat untuk anak-anak dan jika beliau beri rumah kami dapat duduk dalam keadaan senang, selamat.

“Tidak sangka kemudiannya permohonan saya diluluskan Datuk Seri, saya amat berterima kasih kepada beliau dan kini kami sekeluarga dapat tinggal di kediaman yang lebih selamat dan selesa,” katanya.

Katanya, dia amat sebak apabila melihat kegembiraan dan keterujaan yang jelas terpancar diwajah anak-anaknya apabila mereka berpindah di kediaman baharu yang luas dan selesa.

“Saya cuma berharap kepada Datuk Seri. Jadi saya betul-betul berterima kasih kepada Datuk Saravanan kerana sudah beri saya sebuah rumah untuk saya dan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Saravanan berkata, sebanyak RM25,000 diperuntukkan bagi membina kediaman kepada Raas dan anak-anaknya dan ia merupakan sumbangannya selaku ahli parlimen.

Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan.

Katanya, setiap tahun beliau akan memperuntukkan sejumlah peruntukkan bagi membina kediaman masyarakat orang asli di Tapah memandangkan peruntukkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak dapat menampung semua permohonan.

“Saya tambah sedikit sebanyak mana yang boleh kita bantu kerana pendapatan mereka ini tidak menentu jadi untuk buat rumah bukanlah mudah.

“Saya juga sentiasa menerima permohonan daripada masyarakat orang asli di Parlimen Tapah ini dan kami akan bantu sebaik mungkin bagi menjaga kebajikan mereka,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI