KUALA KANGSAR – Kerajaan Perak tidak bercadang untuk melakukan operasi pembenihan awan dalam masa terdekat walaupun mengalami cuaca panas dan jerebu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini tiada keperluan untuk melakukan aktiviti pembenihan awan memandangkan keadaan cuaca panas dan jerebu belum pada tahap bahaya.
“Indeks Pencemaran Udara (IPU) belum mencapai 200. Jadi, setakat ini belum sampai tahap yang memudaratkan.
“Bagaimanapun, kita nasihatkan orang ramai supaya jangan alpa. Mereka yang perlu memakai pelitup muka, pakailah. Jangan terlalu terdedah kepada cuaca luar, terutama budak-budak sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Keenam Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Saarani berkata, peraturan sedia ada menetapkan sekolah perlu ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah 200.
Katanya, bacaan ketika ini masih belum mencapai paras berkenaan dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya keadaan memerlukan.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan, sebanyak tujuh negeri mencatatkan cuaca panas Tahap 1 (Berjaga-Jaga).
Keadaan itu melibatkan lima negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Perak, Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor, selain Sabah serta Sarawak.
MetMalaysia memaklumkan di Perak, kawasan yang merekodkan cuaca panas Tahap 1 ialah Kuala Kangsar, Kampar dan Batang Padang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
14 kawasan di Semenanjung catat cuaca panas tahap berjaga-jaga


