IPOH – Lima lelaki warga tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan di daerah Kerian dan Hilir Perak, masing-masing membabitkan rampasan air dan daun ketum yang dipercayai untuk tujuan pengedaran.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dalam serbuan pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kerian telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Nelayan, Tanjung Piandang pada jam 10.30 malam tadi
Menurutnya, serbuan itu membawa kepada penahanan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 27 hingga 42 tahun dan semakan awal mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod lampau.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, polis merampas sebuah botol plastik lutsinar yang mengandungi cecair disyaki air ketum dengan anggaran isipadu 0.6 liter.
“Pemeriksaan lanjut di bahagian dapur rumah berkenaan turut menemukan 22 bungkus plastik berisi cecair disyaki air ketum dengan anggaran keseluruhan 11.01 liter, bernilai kira-kira RM280,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam serbuan berasingan, pada sekitar jam 12.20 tengah malam tadi, sepasukan anggota BSJND Hilir Perak menjalankan pemeriksaan di belakang sebuah rumah di Jalan Chenderong Balai dan menemukan 22 bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi daun disyaki ketum dengan anggaran berat keseluruhan 196 kilogram, bernilai RM2,940.
“Dalam serbuan tersebut, dua lelaki warga tempatan yang tidak mempunyai rekod lampau itu telah ditahan bagi membantu siasatan,“ ujarnya.
Beliau berkata, rampasan daun ketum dan air ketum berkenaan dipercayai untuk tujuan pengedaran, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran bahan terbabit.
“Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,“ jelasnya.
Artikel Berkaitan:
Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum IPK Perak


