MENGANGGAP tugas sebagai siak bukan sekadar pekerjaan atau tanggungjawab harian membolehkan Saharudin Hashim, 72, menggalas amanah berkenaan lebih 40 tahun di Masjid Jamek Chemor, Ipoh.
Tidak sekadar itu, bapa kepada tiga cahaya mata itu juga turut menjaga kebersihan tanah perkuburan serta menguruskan jenazah di kariahnya tanpa penat dan lelah.
Pengorbanan beliau lebih empat dekad itu akhirnya menerima pengiktirafan apabila menerima Anugerah Pegawai Masjid kategori Tokoh Siak bersempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 1448H/2026M.
Lebih manis lagi anugerah berkenaan disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Saharudin berkata, tugas yang digalasnya lebih empat dekad sebagai siak Masjid Jamek Chemor merupakan amanah Allah S.W.T. serta kepercayaan yang diberikan kariah masjid berkenaan kepadanya.
“Saya dilahirkan dan membesar di kariah Masjid Jamek Chemor sehingga sekarang di mana sudah ada 10 orang cucu dan alhamdulillah masih menjalankan tugas sebagai siak masjid lebih 40 tahun.
“Tugas sebagai siak ini boleh dikatakan saya mewarisinya daripada datuk saya kerana dia juga seorang siak,” katanya.
Siak masjid, bersih dan korek kubur serta mandi jenazah
Saharudin berkata, selain menggalas tugas sebagai siak dia juga menjalankan kerja seperti membersihkan tanah perkuburan, menggali liang lahad serta memandikan jenazah di kariahnya.
Katanya lagi, tugas siak merangkumi pelbagai perkara termasuk memastikan kawasan masjid terurus, membantu urusan jenazah, program keagamaan selain menjadi antara individu yang membantu menggerakkan usaha mendapatkan sumbangan masyarakat.

“Macam-macam tugas saya buat seperti urusan masjid, tandas, kebersihan dan macam-macam lagi. Urusan haji pun saya buat,” katanya.
Katanya, antara pengalaman paling besar yang tidak dapat dilupakan ialah ketika beliau bersama jawatankuasa masjid menggerakkan usaha mengumpulkan dana bagi membesarkan masjid yang ketika itu tidak lagi mampu menampung keperluan jemaah.
Menurutnya, usaha tersebut dilakukan secara berterusan dengan mendapatkan sumbangan daripada masyarakat dan peniaga di beberapa kawasan sekitar Chemor dan daerah berdekatan.
“Kami buat dana dari kedai ke kedai di Chemor, Sungai Tipus, Pulau Kangsar, Padang Rengas dan banyak lagi tempat.
“Dalam tempoh kira-kira dua tahun, dari 1999 hingga 2000, kami berjaya kumpulkan lebih kurang RM200,000 untuk membina dan membesarkan masjid,” katanya.
Selain projek pembesaran masjid, beliau turut berkongsi pengalaman mengumpulkan RM7,000 dalam tempoh hanya tiga hari bagi mendapatkan kemudahan skrin dan projektor untuk kegunaan masjid.
Katanya, pengalaman itu membuktikan bahawa masyarakat masih mempunyai semangat untuk membantu institusi masjid sekiranya usaha dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan amanah.
Saharudin yang sebelum ini bekerja sebagai tukang kebun sekolah berkata, selepas bersara beliau tidak memilih untuk menghabiskan masa hanya berehat di rumah, sebaliknya terus mencurahkan tenaga di masjid selagi kudrat masih ada.
“Sekarang orang kata saya sudah berehat, tetapi saya masih turun naik masjid. Selagi boleh buat, saya buat,” katanya.
Bimbang penglibatan golongan muda dalam pengurusan masjid kurang
Ditanya mengenai perasaannya selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah, beliau mengakui berasa bangga dan gembira kerana segala khidmat yang dicurahkan selama ini dihargai.
“Saya rasa bangga dan seronok selain tidak sangka menerima anugerah ini dan lebih-lebih lagi apabila Tuanku sendiri yang menyampaikan,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik pengiktirafan itu, Saharudin menzahirkan kebimbangan mengenai penglibatan generasi muda di dalam pengurusan masjid.

Katanya, golongan muda perlu didekati dengan pendekatan yang lebih lembut dan berhikmah kerana pendekatan keras hanya akan menyebabkan mereka semakin menjauh daripada masjid.
“Generasi muda sekarang kurang datang. Kita kena panggil dan ajak mereka.
“Zaman marah-marah sudah tidak ada dan kalau kita marah mereka tidak akan datang. Kita kena tarik mereka dengan cara yang baik,” katanya.
Beliau berkata, golongan muda juga perlu diberi ruang untuk terlibat dalam aktiviti masjid supaya mereka berasa bahawa masjid adalah tempat untuk semua peringkat umur dan bukan hanya untuk golongan tertentu.
Katanya, sekiranya generasi muda mula didedahkan dengan pengurusan dan aktiviti masjid sejak awal, mereka boleh menjadi pelapis yang meneruskan kesinambungan institusi berkenaan pada masa akan datang.
“Saya nasihatkan yang muda-muda ini, jadilah siak ataupun sekurang-kurangnya ada minat untuk masuk dan membantu masjid.
“Jangan tunggu tua baru hendak datang masjid. Dari muda lagi kena biasakan diri,” katanya.


