Pembangunan Urban Forest lebih RM1 bilion pelengkap ekosistem pelancongan Tambun

IPOH – Urban Forest iaitu projek ekosantuari dan perbandaran gaya hidup berskala besar bernilai lebih RM1 bilion oleh Team Keris Berhad (TKB), bakal menjadi antara pembangunan berimpak tinggi yang mencorakkan landskap baharu koridor Bercham–Tambun di sini.

Projek yang akan dibangunkan di kawasan seluas 34 hektar (84 ekar) itu turut mendapat kerjasama RJJ Hotels Sdn Bhd (RJJ Hotels) dan Persatuan Pengusaha Restoran Cina Malaysia (MCRA), dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, Urban Forest mempunyai potensi besar untuk melengkapi ekosistem pelancongan sedia ada di kawasan Tambun, khususnya dengan kedudukannya yang berhampiran Lost World Tambun dan pembangunan di bandar Sunway.

Menurutnya, pembangunan itu bukan sahaja merangkumi pembinaan residensi, malah turut melengkapi serta memperkukuh ekosistem pelancongan, hospitaliti, makanan dan minuman (F&B), peruncitan dan komersial di kawasan berkenaan.

“Pembangunan Urban Forest bukan menyaingi tetapi saling melengkapi kepada ekosistem yang ada dan bakal menjadikan Tambun sebagai hab pelancongan,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TKB dan RJJ Hotels serta MCRA di Ibu Pejabat TKB di sini hari ini.

Pembangunan Urban Forest lebih RM1 bilion pelengkap ekosistem pelancongan Tambun
Replika projek Urban Forest Bercham Team Keris Berhad (TKB). Foto ABDULLAH YUSOF, 28 OGOS 2026.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan TKB, Datuk Lee Seng Hee; Ketua Pegawai Eksekutif RJJ Hotels, Yap Ling Seng dan Presiden MCRA, Gao Haoyun.

Katanya, pembangunan berkenaan turut dilihat mampu memperkukuh tarikan pelancongan di Ipoh dan Perak dengan menawarkan lebih banyak kemudahan serta produk pelancongan yang dapat memenuhi keperluan pelancong.

“Ipoh ataupun Perak merupakan antara kawasan destinasi pelancongan domestik yang agak tinggi di negara kita setiap tahun.

“Justeru, bagi tujuan pasaran antarabangsa kami memerlukan perkhidmatan yang disediakan itu perlu dinaik taraf dan disesuaikan dengan ekosistem antarabangsa,“ ujarnya.

Beliau berkata, Urban Forest dijangka turut memperluas pilihan penginapan, makanan dan pengalaman pelancongan di Ipoh, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri.

“Menerusi pembangunan ini kami menjangkakan perkhidmatan hotel bertaraf antarabangsa dan kedai-kedai makanan terkenal di Perak juga akan ada di situ.

“Secara tidak langsung ia bakal menjadikan Ipoh dan juga Perak secara amnya akan masuk ke dalam pasaran pelancongan antarabangsa dan Ipoh tidak lagi menjadi pusat pelancongan domestik semata-mata,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MB Perak Pecah Tanah Sunway Ipoh Mall

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI