Logam: Dari simbol kuasa kepada sejarah Perak

TAIPING – Logam mungkin hanya dilihat sebagai bahan yang keras dan bernilai, namun di sebalik keris, gendang, perhiasan, mata wang dan perkakas yang diperbuat daripadanya tersimpan cerita panjang mengenai ketamadunan manusia.

Lebih menarik, sebahagian daripada cerita itu sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan Perak, negeri yang sejak sekian lama dikenali dengan kekayaan hasil bumi termasuk bijih timah.

Melalui Pameran Magis dan Logam di Muzium Perak, sebanyak 140 artifak atau koleksi logam dihimpunkan untuk membawa pengunjung menelusuri sejarah, budaya dan kearifan masyarakat terdahulu menerusi objek yang mungkin selama ini hanya dilihat sebagai barang lama.

Pameran yang berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Disember dengan tema ‘Semangat Seni dan Kuasa’, mempamerkan pelbagai koleksi seperti senjata, perhiasan, barangan kegunaan harian, mata wang serta pelbagai artifak lain yang dihasilkan daripada logam.

Pengarah Muzium Perak, Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir berkata, pameran berkenaan turut menjadi usaha untuk mendokumentasikan semula koleksi-koleksi logam khususnya yang berada di Muzium Perak dan koleksi Jabatan Muzium Malaysia.

Menurutnya, pameran itu turut melibatkan kerjasama tiga pengumpul logam termasuk Yang Mulia Raja Shahriman Raja Aziddin yang membenarkan koleksi arca besi dan beberapa koleksi senjata Melayu dipamerkan.

Seorang pengunjung meneliti koleksi keris dan senjata tradisional Melayu yang dipamerkan pada Pameran Magis dan Logam: Semangat, Kuasa dan Seni di Muzium Perak, Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Pameran ini sebenarnya kita laksanakan sebagai satu usaha mendokumentasikan kembali koleksi-koleksi logam yang khususnya berada di Muzium Perak dan juga koleksi Jabatan Muzium Malaysia.

“Antara koleksi yang dipamerkan juga diperoleh daripada Yayasan Al-Amin, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian sumber bahan yang membentuk keseluruhan pameran berkenaan.

Tumbuk lada milik Sultan Perak ke-26 turut dipamer

Mohd Nasrulamiazam berkata, jika diselusuri lebih jauh, logam bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah alam Melayu, malah dunia Melayu pada era awal pernah dikenali sebagai Suvarnabhumi Bumi atau Bumi mas, yang menggambarkan kekayaan hasil berkaitan logam termasuk emas.

Beliau berkata, salah satu koleksi penting yang dibawa ke dalam pameran ialah budaya Dongsong yang berkembang dari kawasan Vietnam sebelum tersebar ke Kepulauan Melayu, termasuk Malaysia.

Tambahnya, di Muzium Perak, sebuah gendang Dongsong yang pernah ditemui di Klang pada 1907 turut dipamerkan, memberikan gambaran mengenai kewujudan dan perkembangan ketamadunan awal di alam Melayu.

Pengarah Muzium Perak, Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di Muzium Perak, Taiping, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Namun, cerita logam di Perak tidak berhenti pada artifak arkeologi kerana keris, tombak, meriam dan tumbuk lada turut menjadi sebahagian daripada naratif yang ingin diketengahkan menerusi pameran tersebut.

“Antara yang dianggap jarang ialah koleksi tumbuk lada milik Sultan Perak ke-26, Sultan Abdullah Muhammad Shah II yang merupakan antara koleksi awal dihasilkan sekitar abad ke-18.

“Turut dipamerkan ialah koleksi yang dikaitkan dengan tokoh seperti Gerald Brosseau Gardner (G.B. Gardner) Francis Herbert Wenham (F.R. Wenham), selain koleksi logam yang pernah dimiliki bekas Sultan Perak, termasuk Sultan Abdul Aziz dan Sultan Idris,” katanya.

Menurutnya lagi, nilai sesuatu logam pada zaman dahulu bukan semata-mata terletak pada bahan yang digunakan, tetapi turut mencerminkan kedudukan dan kuasa pemiliknya.

“Golongan istana dan bangsawan misalnya memiliki barangan yang dihasilkan daripada logam bernilai seperti timah, tembaga dan emas, manakala masyarakat biasa lebih banyak menggunakan besi atau tembaga untuk menghasilkan barangan tertentu.

Gendang Gangsa Dongson yang diperbuat daripada gangsa antara koleksi artifak logam yang dipamerkan pada Pameran Magis dan Logam: Semangat, Kuasa dan Seni di Muzium Perak, Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Dalam konteks itu, logam juga menjadi simbol kuasa. Keris misalnya bukan sekadar senjata untuk mempertahankan diri, tetapi mempunyai kaitan dengan kedaulatan seseorang pemerintah atau sesebuah kerajaan.

“Logam dicerminkan sebagai bentuk simbol kuasa khususnya keris, merupakan simbol kedaulatan seseorang pemerintah ataupun sebuah kerajaan,” katanya.

Logam sebahagian daripada hubungan, pertukaran budaya, masyarakat

Mohd Nasrulamiazam berkata, koleksi perak dari Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand, turut menunjukkan bahawa logam menjadi sebahagian daripada hubungan dan pertukaran budaya antara masyarakat di rantau ini.

Katanya, cerita tentang logam juga tidak boleh dipisahkan daripada sejarah Perak sendiri banyak koleksi yang dipamerkan berasal dari negeri ini dan berada di Muzium Perak sejak penubuhannya pada 1883.

Jelas beliau lagi, sebahagian koleksi berkenaan tidak pernah dibawa keluar dan dihimpunkan oleh penyelidik serta pegawai kolonial untuk ditempatkan di Muzium Perak yang ketika itu merupakan muzium pertama di Tanah Melayu.

“Sebab itu, 140 artifak yang dipamerkan bukan sekadar koleksi benda lama, sebaliknya menjadi jendela untuk melihat kepandaian masyarakat terdahulu menghasilkan senjata, peralatan budaya dan pelbagai barangan berasaskan logam.

“Perkembangan logam turut mempunyai kaitan langsung dengan sejarah ekonomi dan politik Perak sebagai contoh bijih timah yang menjadi antara bahan penting mendorong kedatangan British ke negeri ini ketika kuasa Eropah mula memburu sumber mineral untuk memenuhi keperluan Revolusi Perindustrian,” katanya.

Pelbagai koleksi artifak logam termasuk perhiasan diri, bekas simpanan, senjata dan aksesori tradisional dipamerkan pada Pameran Magis dan Logam: Semangat, Kuasa dan Seni di Muzium Perak, Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Beliau berkata, sejarah perlombongan bijih timah di kawasan yang kini menjadi sebahagian daripada Perak juga mempunyai akar yang panjang, termasuk di Klian Intan yang pernah berada di bawah kerajaan Reman sebelum menjadi sebahagian daripada Perak selepas Perjanjian Bangkok.

“Daripada emas dan perak di istana, keris sebagai simbol kedaulatan, sehinggalah bijih timah yang mengubah landskap sejarah Perak, logam akhirnya menjadi sebahagian daripada cerita besar negeri ini.

“Pengaruh logam turut dapat dilihat dalam seni tekstil tradisional melalui penggunaan benang emas dan benang perak dalam sulaman serta tekatan, memperlihatkan bahawa pengaruh logam terhadap budaya Perak jauh lebih luas daripada sekadar barangan yang diperbuat sepenuhnya daripada logam,” katanya.

Mengulas mengenai pameran berkenaan, beliau berkata, ia bukan sekadar menjadi ruang untuk melihat artifak, malah menjadi medium menghidupkan kembali cerita yang mungkin semakin jauh daripada ingatan generasi hari ini.

Katanya, sejak dibuka pada 1 Jun hingga 14 Ogos, Pameran Magis dan Logam telah menerima kira-kira 35,000 pengunjung dan Muzium Perak menyasarkan lebih 50,000 pengunjung sehingga pameran berakhir pada Disember ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI