IPOH – Setiap generasi mempunyai perjuangan masing-masing sama ada sebelum, semasa dan selepas merdeka serta akan datang dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, generasi sebelum Merdeka berjuang untuk menentukan nasib tanah air dengan tangan sendiri.
Beliau berkata, generasi selepas Merdeka pula berjuang membina sebuah negara dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyatnya.
Katanya, manakala generasi kita pula mempunyai tugas untuk membawa Malaysia menjadi jauh lebih baik daripada apa yang telah kita warisi.

“Generasi terdahulu telah mewariskan kepada kita sebuah negara merdeka. Malaysia bagaimana pula yang akan kita wariskan kepada generasi selepas kita?.
“Kita mahu mewariskan sebuah Malaysia yang bukan sahaja lebih maju dan makmur, tetapi tetap aman, tetap bersatu dan memberikan ruang kepada setiap rakyat untuk membina kehidupan yang lebih baik.
“Kita mahu anak-anak kita membesar dengan keyakinan bahawa negara ini mempunyai tempat untuk mereka. Kita mahu anak-anak percaya bahawa jika mereka belajar dan berusaha, ada peluang untuk mereka mendapatkan pekerjaan yang baik, membina kerjaya, berniaga, memiliki kehidupan yang lebih selesa dan mengejar cita-cita mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, pada Ahad.
Turut hadir Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Beliau berkata, anak-anak yang menyaksikan sambutan kemerdekaan hari ini mungkin hanya melihatnya sebagai kemeriahan persembahan dan bunga api, namun 20 atau 30 tahun akan datang, mereka akan menjadi golongan yang bekerja, membina keluarga, memimpin masyarakat dan menentukan arah negara.
“Malaysia yang mereka diami pada waktu itu akan banyak ditentukan oleh apa yang kita lakukan pada hari ini.
“Tanggungjawab kita ialah memastikan apabila tiba masanya untuk menyerahkan negara ini kepada generasi selepas kita, kita menyerahkan sebuah Malaysia yang lebih baik daripada ketika kita menerimanya,” katanya.
Terdahulu, Saarani bersama lebih 20,000 rakyat daripada pelbagai lapisan, menantikan detik 12 tengah malam untuk bersama-sama melaungkan laungan keramat ‘Merdeka’ sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Lagu kebangsaan Negaraku dan Jalur Gemilang kemudian dinyanyikan dengan penuh semangat sebelum malam penuh gemilang itu diakhiri dengan pertunjukan bunga api. -MG Perak


