SUNGAI SIPUT – Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut selepas terjatuh pada ketinggian lima meter dari Jambatan Victoria Kuala Kangsar, di sini pada Isnin.
Kanak-kanak lelaki terbabit disahkan meninggal dunia sekitar jam 7.40 malam ketika sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Charan Ai Wan berkata, ketika kejadian kira-kira pada jam 6.30 petang, mangsa bersama bapa berusia 42 tahun sedang berjalan di atas jambatan berkenaan.
Katanya, keluarga dan mangsa berada di lokasi ikon pelancongan terkenal itu kerana sedang bercuti di Kuala Kangsar.
“Mangsa bersama bapanya berjalan di atas Jambatan Victoria sambil memegang tangan sebelum telah jatuh di satu lubang yang terdapat pada jambatan tersebut.
“Ibu kepada kanak-kanak yang berusia 41 tahun itu itu kemudian telah melihat mangsa berada di atas jalan raya yang berada di bawah jambatan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa yang ketika itu didapati masih hidup kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar sebelum disahkan meninggal dunia.
“Proses bedah siasat akan dilakukan ke atas mangsa bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Polis juga akan merakam percakapan ahli keluarga mangsa dan saksi terlibat bagi membantu siasatan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga beranak ditemukan maut, lelaki dipercayai terjatuh dari kondominium


