Struktur besi Jambatan Victoria ditutup sementara, jaring keselamatan akan dipasang

KUALA KANGSAR – Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sedang mendapatkan peruntukan sekitar RM50,000 bagi pemasangan jaring keselamatan di bahagian bawah Jambatan Victoria susulan kejadian kanak-kanak berusia tiga tahun maut akibat terjatuh daripada ketinggian lima meter di jambatan itu pada Isnin lalu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, tindakan tersebut sebagai langkah segera berikutan kejadian yang berlaku di struktur warisan berusia lebih 100 tahun di Enggor itu.

Menurutnya, dalam masa sama, akses pengunjung ke bahagian struktur besi Jambatan Victoria ditutup mulai hari ini atas faktor keselamatan sehingga kerja penggantian kayu landasan yang telah usang dan reput serta langkah keselamatan tambahan selesai dilaksanakan.

“Bagaimanapun, penutupan tersebut tidak membabitkan keseluruhan kawasan Jambatan Victoria apabila kawasan luar dan bahagian struktur batu masih dibuka untuk kunjungan orang ramai.

“Langkah berkenaan akan diteruskan sehingga keadaan jambatan disahkan selamat dan sesuai untuk dibuka semula kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan terhadap jambatan berkenaan telah dilakukan dari semasa ke semasa, dengan pemeriksaan fizikal terakhir di tapak dilaksanakan pada 30 Jun lalu.

“Sebelum kejadian berlaku, permohonan peruntukan juga telah dibuat bagi kerja penyelenggaraan termasuk penggantian kira-kira 60 kayu landasan yang telah usang,” ujarnya.

Sandrea turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa selain menegaskan keselamatan pengunjung perlu menjadi keutamaan, khususnya membabitkan struktur warisan yang telah berusia lebih satu abad.

Jambatan Victoria adalah aset milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC), manakala MPKK turut membantu dari aspek penyelenggaraan kawasan tersebut memandangkan ia merupakan salah satu produk pelancongan dan warisan sejarah tempatan.

Susulan kejadian itu, aspek keselamatan keseluruhan tapak juga akan diberi perhatian bersama pihak berkaitan bagi menentukan langkah penambahbaikan yang sewajarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak tiga tahun maut terjatuh dari Jambatan Victoria

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI