Rumah kedai kosong jadi ‘lombong’ Bitcoin haram

SUNGAI SIPUT – Rumah kedai yang ditinggalkan kosong untuk tempoh lama dipercayai menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab apabila premis berkenaan dipecah masuk sebelum dijadikan pusat perlombongan Bitcoin secara haram.

Kegiatan itu terbongkar dalam operasi penguatkuasaan polis bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas menyerbu empat premis yang menjalankan kegiatan tersebut  menggunakan bekalan elektrik secara tidak sah di daerah Sungai Siput dan Perak Tengah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput dengan kerjasama TNB telah menjalankan tiga serbuan berdasarkan maklumat risikan, pemantauan dan siasatan berhubung kegiatan mencuri bekalan elektrik pada Isnin lalu.

“Serbuan pertama kira-kira jam 4 petang di sebuah premis di Sungai Siput Parade membawa kepada penemuan dan rampasan 58 unit mesin perlombongan bitcoin, sebuah komputer riba serta dua unit router.

“Operasi diteruskan kira-kira jam 5 petang di sebuah premis di Taman SS2 Perdana, dengan 26 unit mesin perlombongan bitcoin, sebuah komputer riba dan sebuah router dirampas.

“Dalam serbuan ketiga kira-kira jam 6.30 petang di sebuah premis di Taman Alamanda, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang mengaku sebagai penjaga kawasan berkenaan.

“Sebanyak 48 unit mesin perlombongan bitcoin dan sebuah router turut dirampas dalam serbuan berkenaan, menjadikan keseluruhan 132 unit mesin perlombongan bitcoin disita dalam tiga serbuan di Sungai Siput,” katanya dalam sidang media di IPD Sungai Siput di sini hari ini.

Katanya, hasil soal siasat awal mendapati lelaki berkenaan mendakwa tidak mengetahui kegiatan perlombongan bitcoin yang dijalankan di premis terbabit.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik mesin, pihak yang terlibat serta kaedah bekalan elektrik diperoleh dan digunakan.

 Rumah kedai dipecah masuk, jadi pusat perlombongan bitcoin, empat kegiatan terbongkar
Barang rampasan berkaitan kejayaan membanteras kegiatan perlombongan bitcoin dan kecurian bekalan elektrik di daerah Sungai Siput dan Perak Tengah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 02 SEPTEMBER 2026.

“Semakan awal turut mendapati lelaki berkenaan mempunyai lapan rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Alwi berkata, pada hari sama, polis turut menerima maklumat berhubung penggunaan bekalan elektrik secara tidak sah serta kegiatan perlombongan Bitcoin di sebuah premis di Seri Iskandar.

“Pemeriksaan di tingkat satu premis terbabit menemukan 36 unit mesin perlombongan Bitcoin yang disyaki digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan. Turut dirampas ialah sebuah router, sebuah desktop switch dan segulung kabel elektrik yang telah dipotong.

“Pemeriksaan awal mendapati premis itu tidak mempunyai meter elektrik yang dibekalkan TNB, selain terdapat sambungan elektrik yang dipercayai dibuat secara tidak sah.

“Tiada tangkapan dibuat setakat ini dalam kes berkenaan dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu serta pihak yang terbabit,” jelasnya.

Beliau berkata, sebanyak 168 unit mesin perlombongan bitcoin, selain peralatan rangkaian dan kabel elektrik berkaitan telah dirampas menerusi empat operasi di daerah Sungai Siput dan Perak Tengah.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990,“ katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis rampas 75 mesin lombong bitcoin haram di Teluk Intan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI