TAPAH – Seorang pemandu bas ekspres dipercayai berada di bawah pengaruh ubat jantung yang boleh menyebabkan mengantuk sebelum kenderaan dipandunya terbabas dan tersangkut di atas besi pembahagi lebuh raya di Kilometer (KM) 328.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu menerusi Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah sekitar jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bas berkenaan dalam perjalanan dari Kajang, Selangor menuju ke Kulim, Kedah dan tidak membawa penumpang ketika kejadian.
“Setibanya di KM 328.3, bas yang dipandu di laluan kanan lebuh raya itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan menaiki besi pembahagi lorong antara laluan arah utara dan selatan.
“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan susulan selepas pemeriksaan di wad kecemasan mendapati mangsa berada di bawah pengaruh ubat jantung yang boleh menyebabkan rasa mengantuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Malik berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berkenaan adalah pesakit luar yang mendapatkan rawatan melalui Klinik Kesihatan Kuala Ketil, Kedah bagi masalah berkaitan jantung.
Katanya, bas mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan bawah kenderaan selain tersangkut di atas pembahagi lebuh raya.
“Kes ini diklasifikasikan di bawah Peraturan 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Tapah di talian 05-401 1222.
Tambahnya, maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tapah, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain menerusi talian 017-325 6140. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bas terbabas ke dalam gaung, 24 penumpang terselamat


