Pencemaran Sungai Sitiawan: JAS kesan kerosakan komponen loji kumbahan kilang

IPOH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengesan kerosakan pada salah satu komponen sistem rawatan kumbahan sebuah kilang susulan siasatan berhubung insiden pencemaran Sungai Sitiawan di Lumut yang menyebabkan kematian ikan dan hidupan akuatik lain.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, penemuan itu dikenal pasti pasukan siasatan JAS ketika menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di sebuah premis kilang di Kampung Acheh, Sitiawan.

Menurutnya, JAS menerima makluman mengenai penemuan ikan mati di Sungai Sitiawan pada Ahad lalu sebelum siasatan segera dijalankan di beberapa lokasi.

“Pasukan siasatan telah mengenal pasti berlaku kerosakan pada valve blower di loji rawatan kumbahan (Sewage Treatment Plant atau STP).

“Bagaimanapun, sampel efluen kumbahan tidak dapat diambil kerana kadar alirnya sangat rendah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kok Lim berkata, JAS turut mengambil sampel efluen industri di takat pelepasan akhir premis bagi tujuan pemadanan dengan sampel air sungai.

Jelas beliau, langkah itu penting bagi membantu siasatan menentukan sama ada terdapat kaitan antara pelepasan daripada premis terbabit dengan kejadian kematian hidupan akuatik di sungai berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, siasatan awal JAS dijalankan di tiga lokasi yang dikenal pasti terdapat penemuan ikan mati iaitu di sebuah pelantar dan dua di kawasan penginapan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa ekor ikan serta hidupan laut lain yang mati dan timbul di permukaan air,” katanya.

Kok Lim berkata, persampelan secara ‘in situ’ dan pengambilan sampel untuk dianalisis Jabatan Kimia Malaysia turut dilaksanakan di ketiga-tiga lokasi terbabit.

Menurut beliau, JAS kini sedang menunggu keputusan analisis sampel air sungai dan efluen industri sebelum tindakan susulan termasuk perundangan dapat ditentukan.

“Tindakan perundangan akan disusuli bergantung kepada keputusan analisis sampel-sampel daripada Jabatan Kimia Malaysia.

“JAS akan meneruskan pemantauan dan akan menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan ke atas premis-premis berhampiran yang berpotensi mencemari sungai tersebut,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan, berlaku insiden pencemaran Sungai Sitiawan yang menyebabkan kematian hidupan akuatik didakwa berpunca daripada sebuah kilang yang melepaskan sisa tercemar ke dalam sungai.

Kejadian yang tular di media sosial itu turut didakwa menyebabkan kematian spesies-spesies akuatik seperti ikan dan ketam. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

JAS Perak siasat dakwaan pencemaran kimia punca kematian lembu 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI