PAU 2026 himpun 6,401 perwakilan – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) — Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 9 hingga 12 Sept ini, bakal menghimpunkan 6,401 perwakilan rasmi dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata jumlah perwakilan yang telah mendaftar itu, merangkumi 2,922 perwakilan bagi Perhimpunan Agung UMNO, Pergerakan Wanita (1,163 orang), Pergerakan Pemuda (1,171 orang) dan Pergerakan Puteri (1,145 orang), manakala kehadiran keseluruhan pengunjung dijangka melebihi 50,000 orang.

Beliau berkata tirai perhimpunan akan mula dibuka pada 9 Sept menerusi Majlis Penerangan UMNO 2026 pada sebelah pagi, diikuti Taklimat Presiden pada sebelah petang.

“Acara diteruskan pada sebelah malam dengan Perasmian Serentak Persidangan Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Persidangan Penuh ketiga-tiga sayap akan berlangsung sepanjang hari pada 10 Sept, sebelum diikuti Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) pada sebelah malam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata acara kemuncak Perhimpunan Agung UMNO akan bermula pada 11 Sept dengan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa, diikuti Majlis Perasmian dan Ucapan Dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, manakala sesi penggulungan oleh barisan kepimpinan tertinggi dijadualkan pada 12 Sept.

Beliau berkata sebelum persidangan rasmi bermula, beberapa acara praperhimpunan turut disusun seawal 8 Sept yang terbuka kepada orang awam, merangkumi Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia Kali Kedua, Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 serta program Voice of Her.

Selain itu, PAU 2026 turut disemarakkan dengan pembukaan lebih 120 gerai jualan usahawan Bumiputera dan pameran korporat, di samping perkhidmatan pemeriksaan kanser percuma oleh Wanita UMNO di pekarangan WTC.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI