IPOH – Kemasukan lebih banyak hotel jenama antarabangsa dan bertaraf tinggi di Ipoh dilihat mampu memperkukuh sektor pelancongan negeri Perak, khususnya dalam usaha menarik pelancong yang mencari penginapan berkualiti.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, perkembangan itu juga menunjukkan bandar raya ini semakin bersedia untuk meningkatkan kedudukannya dalam pasaran pelancongan antarabangsa.
Katanya, selain pelbagai jenis pilihan penginapan termasuk hotel bajet, kewujudan hotel bertaraf tinggi penting bagi memenuhi keperluan pengunjung yang mahukan pengalaman percutian lebih selesa.
“Perak khususnya Ipoh memerlukan semua ini untuk meningkatkan lagi tahap sektor pelancongan dan antara perkara yang kita usahakan ialah membawa lebih banyak hotel jenama antarabangsa ke negeri ini.
“Antaranya ialah hotel antarabangsa bertaraf tinggi dan ini satu perkembangan yang baik untuk Perak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Rasmi Hotel Dusit Princess Ipoh di Jalan Raja Dihilir, di sini, pada Khamis.

Menurut Sze Yee, kemasukan hotel antarabangsa turut dilihat seiring usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan kesalinghubungan dan infrastruktur terutamanya bagi memudahkan pelancong berkunjung ke Perak.
“Kita faham ada pelancong yang mahukan penginapan bajet, tetapi ada juga yang datang bercuti dan mahu penginapan yang lebih baik.
“Jadi, ini yang kita sedang dorong di Perak dan sekarang kita boleh lihat khususnya di Ipoh, hotel antarabangsa dengan jenama besar sudah mula masuk,” katanya.
Beliau berkata, kemasukan hotel berjenama antarabangsa turut melengkapkan penawaran hotel tempatan termasuk hotel butik yang mempunyai konsep tersendiri.
Mengulas tentang Hotel Dusit Princess Ipoh, Sze Yee, berkata, hotel berkenaan mempunyai 268 bilik dan menerima penarafan empat bintang daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Jelas beliau, hotel itu turut menawarkan konsep berinspirasikan Thailand yang memberikan kelainan kepada pasaran hotel antarabangsa di Ipoh.
“Hotel ini membawa perkhidmatan dan suasana dengan sentuhan Thailand, yang merupakan sesuatu yang berbeza untuk pasaran dan segmen di Ipoh,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dusit International, Chanin Donavanik berkata, Dusit Princess Ipoh menawarkan kemudahan untuk pelancong rekreasi, keluarga, pelanggan perniagaan, delegasi kerajaan dan kumpulan acara.
Beliau berkata, pembukaan hotel berkenaan turut mengambil kira potensi Ipoh sebagai destinasi yang mempunyai warisan, tarikan kulinari dan keindahan alam semula jadi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pesta Kopi Ipoh jadi acara tahunan, perkukuh jenama pelancongan gastronomi


