Kalau sudah tidak minat, tak ada masalah, pergilah dengan baik – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Lee Chean Chung sudah hampir setahun tidak aktif dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk tidak menghadiri mesyuarat parti dan kongres.

Anwar berkata, keadaan itu menunjukkan Chean Chung sudah lama tidak mencampuri urusan parti sebelum mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa hari ini.

“Dia dah lama, setahun dia tak pernah campur soal urusan parti. Mesyuarat-mesyuarat parti tak pernah hadir, kongres pun tak hadir,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Kuarters TUDM Sungai Besi bersebelahan Masjid Abdullah bin Zubair, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi, di sini hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, sekiranya Chean Chung sudah tidak berminat dengan PKR, beliau boleh meninggalkan parti itu dengan baik dan pihaknya tetap menghargai sumbangan yang pernah diberikan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu.

“Jadi, sesuailah. Kalau dah tak minat, tak ada masalah. Pergi dengan baik. Terima kasih atas sumbangan selama ini,” ujarnya.

Hari ini, Chean Chung hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat, susulan keputusan PKR menggantung keahliannya selama tiga tahun.

Surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, semalam.

Beliau turut memaklumkan akan mengemukakan surat rasmi untuk keluar daripada PKR pada Isnin ini.

Chean Chung sebelum ini mendakwa akses kepada peruntukan RM3 juta kawasan Petaling Jaya telah disekat, selain pengurusan peruntukan berkenaan diambil alih wakil parti.

Beliau turut mempersoalkan hala tuju Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, termasuk berkaitan rasuah, penyalahgunaan kuasa, reformasi institusi dan beberapa kes berprofil tinggi.

Bagaimanapun Anwar menegaskan, peruntukan kawasan Petaling Jaya tidak terjejas dan projek untuk penduduk tetap diteruskan.

“Peruntukan kawasan tak terjejas. Sekolah, surau, masjid, temple, jalan, apa-apa itu kita telah pastikan projek berjalan,” tambahnya.

Mengenai kemungkinan PKR mengambil tindakan undang-undang terhadap Chean Chung, Anwar berkata, perkara itu diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR dan jawatankuasa perundangan parti.

Chean Chung sebelum ini telah meletakkan jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada Jun lalu selepas 18 tahun bersama parti berkenaan, namun ketika itu beliau menegaskan masih kekal sebagai ahli PKR dan akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya sehingga Parlimen dibubarkan.

Dengan peletakan jawatan itu, Chean Chung menjadi antara Ahli Parlimen PKR yang meninggalkan kedudukan sebagai wakil rakyat selepas Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen. – MalaysiaGazette

Chean Chung letak jawatan MP Petaling Jaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI