MCMC pandang serius penyebaran kandungan AI manipulasi detik duka Tun M

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran kandungan di media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga boleh mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu dan keluarga adalah suatu perkara yang tidak wajar dipandang ringan, lebih-lebih lagi ketika melibatkan saat kehilangan dan kedukaan.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC berkata, ia telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan tersebut.

“Sekiranya hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya.

MCMC turut mengingatkan semua pihak agar tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan dimanipulasi yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan pihak lain.

Orang ramai juga digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi dan melaporkan kandungan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform atau pihak berkuasa berkaitan.

Jelas MCMC, kemajuan AI membuka banyak manfaat kepada masyarakat, namun penggunaannya perlu disertai tanggungjawab.

Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan, tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI