TANJONG MALIM – Kira-kira 10,000 penutup botol terpakai berjaya dikumpulkan dan diubah menjadi sebuah mural kelestarian menerusi Projek Bottle Cap Mural yang diluncurkan sempena Karnival Alam Sekitar Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI) 2026.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI Prof. Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata, projek berkenaan membuktikan bahan terpakai boleh dimanfaatkan secara kreatif untuk menyampaikan mesej berkaitan pemeliharaan alam sekitar kepada warga universiti dan komuniti.
Beliau berkata, projek tajaan SWCorp itu merupakan hasil kolaborasi Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), ECOLEAD FSK serta program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM), dengan penutup botol diperoleh hasil sumbangan warga UPSI dan komuniti Muallim menerusi Bottle Cap Challenge.
“Budaya kelestarian ini turut diterjemahkan secara kreatif menerusi Projek Bottle Cap Mural yang memanfaatkan kira-kira 10,000 penutup botol terpakai hasil sumbangan warga UPSI dan komuniti Muallim melalui Bottle Cap Challenge,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Alam Sekitar UPSI 2026, Peluncuran Bottle Cap Mural serta Polisi dan Pelan Tindakan Tadbir Urus, Sosial dan Alam Sekitar (ESG) UPSI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, hari ini.
Raja Nor Safinas berkata projek itu bukan sahaja menggabungkan elemen seni dan kitar semula, malah menjadi medium pemindahan ilmu serta membudayakan amalan kelestarian dalam kalangan warga universiti dan masyarakat.
Menurut beliau, penglibatan aktif warga universiti serta jaringan rakan strategik amat penting bagi memastikan agenda kelestarian dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan amalan seharian.
“Dalam konteks ini, kampus UPSI sendiri berpotensi besar menjadi living laboratory untuk menguji dan mengamalkan penyelesaian kelestarian,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh budaya kelestarian turut diperkasakan menerusi peluncuran Polisi dan Pelan Tindakan ESG UPSI yang menjadi kerangka utama untuk mengintegrasikan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus secara menyeluruh.
Katanya, langkah itu penting dalam memastikan institusi pendidikan tinggi bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu, malah membentuk nilai, sikap dan tindakan generasi masa hadapan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, pencemaran dan pemusnahan biodiversiti.
Sementara itu, Karnival Alam Sekitar UPSI 2026 yang dianjurkan FSK dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB) itu turut disekalikan dengan Hari Terbuka FSK 2026 serta Sg. Bernam X UPSI Fun Trail Run 2026 yang menjadi platform menggalakkan gaya hidup sihat, amalan hijau dan penglibatan komuniti.
Raja Nor Safinas berkata, komitmen UPSI terhadap agenda kelestarian turut menerima pengiktirafan menerusi Anugerah IPT Lestari Perak 2025 dan kedudukan ke-99 dunia dalam UI GreenMetric World University Rankings 2026.
“Pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam memperkukuh pengurusan kampus yang mampan dan rendah karbon, inovasi hijau, pemeliharaan alam sekitar, penggunaan sumber secara berhemah serta pembudayaan amalan lestari dalam kalangan warga universiti,” katanya. – MalaysiaGazette


