Orang Asli bukan sekadar penerima, turut warnai Jelajah Sejahtera Desaku

SUNGAI SIPUT – Komuniti Orang Asli bukan sekadar penerima manfaat pembangunan luar bandar, malah turut tampil sebagai penggerak yang mencorakkan pengisian Jelajah Sejahtera Desaku dan Program 3S (Sejahtera, Sihat dan Sukan) @ DUN Lintang.

Penglibatan itu diterjemahkan menerusi penyertaan aktif mereka dalam pelbagai aktiviti termasuk pertandingan menyumpit dan demonstrasi masakan tradisional Orang Asli yang menjadi antara tarikan pada program berkenaan.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, penglibatan masyarakat Orang Asli dalam program tersebut membuktikan mereka mempunyai ruang dan peranan penting dalam menjayakan agenda pembangunan komuniti setempat.

Katanya, penyertaan bukan sahaja datang daripada masyarakat FELDA Sungai Lasah dan kampung berhampiran, malah turut melibatkan komuniti Orang Asli khususnya di kawasan DUN Lintang dan Parlimen Sungai Siput.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun melihat demontrasi bomba pada Jelajah Sejahtera Desaku dan 3S (Sejahtera, Sihat dan Sukan) @ DUN Lintang di Mini Arena FELDA Lasah Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OKTOBER 2026.

“Program ini sebahagian daripada Jelajah Sejahtera Desaku dan Program 3S untuk komuniti masyarakat Orang Asli.

“Alhamdulillah, segala persiapan berjalan dengan baik dan lancar, manakala pengisian dan sambutan juga amat menggalakkan serta membanggakan,” katanya ketika ditemui selepas program Jelajah Sejahtera Desaku dan 3S @ DUN Lintang di Mini Arena FELDA Lasah di sini.

Menurutnya, pendekatan menghimpunkan aktiviti sukan, budaya, pameran, jualan dan kebajikan dalam satu program memberi peluang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi serta mengambil bahagian secara langsung.

Beliau berkata, penglibatan komuniti Orang Asli melalui aktiviti menyumpit dan demonstrasi masakan tradisional turut memberi ruang kepada mereka mengetengahkan identiti serta warisan yang dimiliki.

Peserta pertandingan sumpit pada Jelajah Sejahtera Desaku dan 3S (Sejahtera, Sihat dan Sukan) @ DUN Lintang di Mini Arena FELDA Lasah Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OKTOBER 2026.

Mohd Zolkafly berkata, program berkenaan turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk golongan muda, wanita dan masyarakat umum, termasuk pertandingan tarik lori tiga tan, sepakan penalti dan bola jaring.

Menurutnya, program yang bermula seawal jam 7 pagi itu turut menghimpunkan jabatan dan agensi kerajaan yang menyediakan jualan serta pameran kepada masyarakat.

Beliau berkata, kira-kira 1,000 pengunjung dari kawasan sekitar hadir pada program berkenaan, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap program yang membawa pelbagai aktiviti terus kepada komuniti luar bandar.

Dalam masa sama, katanya, aspek kebajikan masyarakat turut diberi perhatian menerusi pelaksanaan program Ziarah Kasih dengan beberapa keluarga yang memerlukan akan disantuni selepas program berkenaan.

Peserta pertandingan tarik lori pada Jelajah Sejahtera Desaku dan 3S (Sejahtera, Sihat dan Sukan) @ DUN Lintang di Mini Arena FELDA Lasah Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OKTOBER 2026.

“Saya juga akan membuat Ziarah Kasih ke beberapa buah rumah dan keluarga untuk menyampaikan kotak makanan serta sumbangan kepada mereka.

“Ini sebahagian daripada perkara yang kita laksanakan kerana kita tidak lupa kepada masyarakat yang memerlukan bantuan,” katanya.

Katanya, Jelajah Sejahtera Desaku akan diteruskan di beberapa kawasan DUN lain sebelum siri program berkenaan melabuhkan tirai di DUN Kenering, Lenggong pada November depan. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI