GERIK – Kereta Perodua Axia dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh dua kenderaan lain sehingga mengorbankan empat nyawa dalam nahas di Kilometer 38.5 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Tasik Banding, di sini hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan yang turut membabitkan sebuah lori jenis Hino dan sebuah kereta jenis Proton Persona itu sekitar jam 1.30 petang.
Menurutnya, nahas itu mengakibatkan empat mangsa di dalam Perodua Axia, terdiri daripada dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak, disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi kanak-kanak mengalami kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 19 tahun bersama empat penumpang sedang dalam perjalanan dari Gerik menuju ke Jeli.
“Kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu melanggar bahagian sisi belakang sebuah Proton Persona yang bergerak dari arah bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan sebuah lori Hino yang berada di belakang Proton Persona.
“Akibat rempuhan itu, kereta tersebut masuk ke bawah lori dan diseret sejauh kira-kira tiga hingga tujuh meter.
“Pemandu kereta Proton Persona berusia 20 tahun bersama tiga penumpangnya, masing-masing lelaki berusia 19 dan 47 tahun serta seorang wanita berusia 47 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu lori berusia 42 tahun dan kelindannya, lelaki berusia 34 tahun, juga tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Dalam pada itu, Mohd Alwi berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian telah dijalankan dan ketiga-tiga kenderaan terbabit akan dihantar untuk pemeriksaan teknikal bagi membantu siasatan.
“Polis juga sedang mengesan saksi bebas serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam) sekiranya ada, bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,“ ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.
Sementara itu, identiti mangsa yang terlibat telah dikenal pasti, namun hubungan antara mereka masih belum dapat dipastikan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kesemua mangsa berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Mereka dikenal pasti sebagai Al Zubair Deraman, 31; Tuan Shazrin Tuan Mud, 40; dan Nik Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairey, 19.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, identiti mangsa keempat, seorang kanak-kanak perempuan, masih belum dapat dipastikan manakala mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai Mohammad Shiraz Hammani Abdul Fattah, sembilan tahun.
Abdul Samad mengesahkan identiti mangsa berkenaan ketika dihubungi hari ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Empat maut termasuk bayi perempuan nahas tiga kenderaan di JRTB


