KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh program intervensi kebolehpasaran graduan susulan perubahan pasaran kerja yang semakin dipengaruhi perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu penting bagi memastikan graduan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik malah kemahiran yang relevan dengan perubahan teknologi serta keperluan industri.
Beliau berkata, KPT turut melihat semula program pengajian yang ditawarkan termasuk di politeknik dan kolej komuniti bagi memastikan sistem pendidikan tinggi mampu berdepan perubahan pasaran pekerjaan.
“Ini sangat penting kerana perubahan yang ada di hadapan kita seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Arau itu tadi, maka kemungkinan-kemungkinan ia akan memberi cabaran kepada peluang-peluang pekerjaan yang diunjurkan oleh TalentCorp,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) di Dewan Rakyat hari ini.
Shahidan sebelum itu membangkitkan kebimbangan mengenai kesan AI terhadap peluang pekerjaan graduan dengan merujuk kajian TalentCorp yang dilaporkan menunjukkan kira-kira 620,000 pekerjaan di Malaysia berisiko diganti atau terjejas akibat automasi.
Beliau turut menyatakan pada 2024 masih terdapat 165,900 graduan menganggur selain mempersoalkan bagaimana KPT memastikan 30,000 graduan berkaitan AI yang disasarkan bagi tempoh 2025 hingga 2030 mampu mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan yang turut berdepan perubahan akibat AI.
Menjawab pertanyaan itu, Zambry berkata, AI tidak seharusnya dilihat hanya sebagai bidang pengkhususan kerana elemen itu perlu diterapkan dalam pelbagai disiplin pengajian termasuk bidang sains sosial.
“Kita jangan keliru sangat kerana kita seolah-olah merasakan bahawa kursus-kursus yang berkaitan dengan AI sahaja yang akan mendapat pasaran yang baik. Sebenarnya dari segi pedagogi pendidikan sekarang sudah berubah, kerana apa yang istilahkan sebagai embed. Kita embed di dalam sistem kurikulum itu mesti ada AI,” katanya.
Beliau berkata, KPT turut memperkenalkan kursus berkaitan AI dalam setiap program akademik serta program upskilling dan work-based learning stackable program bagi membangunkan kemahiran berkaitan AI pada setiap peringkat pengajian.
Dalam perkembangan berkaitan, KPT merancang memastikan 80 peratus kursus bagi program ijazah sarjana muda di universiti awam diintegrasikan dengan elemen AI, manakala sehingga 30 September lalu, sebanyak 455 program pengajian peringkat diploma hingga PhD telah melalui proses semakan bagi tahun ini. – MalaysiaGazette


