TANJUNG MALIM – Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) buat julung kalinya menganjurkan Hadiah Sastera dan Bahasa BUDIMAN (HASBUDI) bagi mengiktiraf karya berkualiti serta menghargai sumbangan ahli dalam memperkasa dunia kesusasteraan tanah air.
Presiden BUDIMAN, Prof. Dr. Abdul Halim Ali berkata, HASBUDI diwujudkan sebagai platform mengiktiraf kesungguhan ahli persatuan itu menghasilkan karya kreatif dan bukan kreatif yang bermutu.
Beliau yang juga Profesor Kesusasteraan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, penilaian karya dilaksanakan secara profesional, seiring dengan amalan penghakiman anugerah sastera di peringkat negeri dan kebangsaan.
Menurutnya, keputusan juri bagi edisi sulung HASBUDI telah dimuktamadkan dan akan diumumkan pada majlis penyampaian hadiah di Bankuet Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI pada 20 Oktober ini.
“Ini adalah permulaan dan tidak mustahil pada suatu masa nanti hadiahnya lebih besar serta dilaksanakan secara lebih meluas berikutan ahli BUDIMAN semakin ramai.
“BUDIMAN turut menggerakkan pelbagai program pada peringkat nasional, selain memperluas jangkauan kegiatannya merentas sempadan termasuk ke Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah HASBUDI, Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad berkata, penganjuran hadiah berkenaan mencerminkan komitmen BUDIMAN untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memajukan persuratan Melayu dan memperkukuh peradaban bangsa.
Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi penghasilan, penerbitan dan penyebaran karya kreatif Melayu berkualiti, selain memberi pengiktirafan kepada sumbangan penulis, seniman dan ilmuwan.
“Seperti persatuan penulis lain di Malaysia yang telah lama menggerakkan usaha seumpama ini, BUDIMAN turut terpanggil mewujudkan HASBUDI bagi memilih karya kreatif dan bukan kreatif berkualiti hasil penulisan ahli untuk diberikan hadiah dan anugerah.
“BUDIMAN ingin memberi penghargaan kepada para penulis, seniman, ilmuwan dan karya ahli menerusi hadiah ini sebagai permulaan, dengan penilaian melibatkan karya yang dihasilkan dan diterbitkan sepanjang 2024 dan 2025,” katanya.
Bertemakan ‘Wibawa dan Prestij’, HASBUDI membuka ruang pengiktirafan kepada pelbagai genre penulisan yang memperlihatkan kepelbagaian pemikiran, kreativiti dan keilmuan dalam kalangan ahli persatuan itu.
Penganjuran sulung HASBUDI diharap menjadi pemangkin kepada budaya berkarya secara berterusan dalam kalangan ahli BUDIMAN, di samping menggalakkan penghasilan karya bermutu yang dapat menyumbang kepada perkembangan bahasa, kesusasteraan dan peradaban Melayu. -MG Perak


