Semua sekolah di Perak beroperasi seperti biasa mulai esok

TAIPING — Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Perak akan beroperasi seperti biasa mulai esok, 12 Oktober, susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada paras terkawal.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan IPU di semua stesen pemantauan di Perak setakat jam 2 petang pada Ahad menunjukkan paras pencemaran udara masih di bawah 150.

“Sehubungan itu, semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM di negeri ini diarahkan meneruskan operasi seperti biasa, dengan pihak sekolah diminta sentiasa memantau perkembangan keadaan jerebu.

“Pemantauan perlu dilakukan menerusi data rasmi yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui sistem Pengurusan Alam Sekitar Bersepadu (APIMS),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Kembara KAMBEST Tahun 2026 anjuran Kolej Komuniti Negeri Perak di Anjung Komuniti, Kampung Batu 8, Bendang Siam, di sini pada Ahad.

Khairudin turut menasihati orang ramai terutamanya ibu bapa agar sentiasa mengikuti pengumuman rasmi dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi mengelakkan berlaku kekeliruan atau menerima maklumat palsu.

Katanya, terdapat pelbagai hebahan palsu mengenai penutupan dan pembukaan sekolah di laman sosial yang mengelirukan orang ramai termasuk ibu bapa pelajar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah hadir ke Program Kembara KAMBEST Tahun 2026 anjuran Kolej Komuniti Negeri Perak di Anjung Komuniti, Kampung Batu 8, Bendang Siam, Taiping.

“Saya sudah minta pengarah (JPN Perak) untuk sentiasa mengemaskini maklumat terkini kerana tidak mahu ibu bapa menerima maklumat palsu yang mengatakan sekolah ditutup dan sebagainya.

“Padahal benda itu tidak rasmi daripada Jabatan Pendidikan Negeri sebab Jabatan Pendidikan Negeri akan membuat keputusan setelah mendapat bacaan IPU daripada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kalau bacaan IPU melebihi 180 memang kita akan tutup sekolah serta-merta. Kalau 150 ke 170 kita akan lihat dalam masa tiga hari berturut-turut barulah proses penutupan sekolah itu akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa sama, aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta seluruh warga pendidikan perlu terus diberikan keutamaan sepanjang tempoh keadaan jerebu.

“Semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga diminta memastikan makluman berhubung operasi sekolah itu disampaikan kepada semua institusi pendidikan di bawah pentadbiran masing-masing untuk tindakan lanjut.

“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya merujuk saluran rasmi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi sekolah serta sebarang perubahan arahan susulan perkembangan keadaan jerebu,” katanya.

Jumaat lalu JPN Perak mengumumkan semua sekolah di Daerah Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar ditutup ekoran bacaan IPU merekodkan bacaan melebihi 180. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI