Institusi TVET perlu keluar kampus, dekati masyarakat

TAIPING – Institusi pendidikan tinggi (IPT) berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu memperluas peranan ke luar kampus bagi mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat, sekali gus memastikan kepakaran yang dimiliki dapat dimanfaatkan untuk pembangunan komuniti.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, warga IPT tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti di kampus atau bilik kuliah, sebaliknya perlu turun ke lapangan bagi melihat ruang dan peluang membantu masyarakat.

Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan institusi pendidikan tinggi memahami keperluan komuniti dengan lebih dekat, selain membuka ruang kepada pelaksanaan program yang lebih bersasar dan memberi impak kepada penduduk setempat.

“Saya melihat apabila adanya pelaksanaan program oleh IPT ia memberi ruang dan peluang bukan setakat kepada IPT untuk memberi maklumat namun juga keterlibatan masyarakat itu sendiri.

“Inilah yang kita mahu agar warga pendidikan tinggi tidak hanya berada dalam kampus sahaja atau dalam bilik kuliah tetapi mereka perlu berada di lapangan untuk melihat sejauh mana perkara yang mungkin boleh dibantu pihak institusi untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Kembara KAMBEST Tahun 2026 anjuran Kolej Komuniti Negeri Perak di Anjung Komuniti, Kampung Batu 8, Bendang Siam, di sini pada Ahad.

Khairudin berkata, penganjuran Kembara KAMBEST Tahun 2026 membuktikan bahawa program berkenaan merupakan platform kolaborasi antara IPT dengan komuniti melalui pelbagai pengisian yang memberi tumpuan kepada pendidikan, keusahawanan, kemasyarakatan dan kebajikan.

Menurutnya, program selama dua hari satu malam itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara warga politeknik dan kolej komuniti dengan penduduk kampung, malah membuka peluang perkongsian maklumat serta pengetahuan yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat.

“Secara tidak langsung, masyarakat yang berada dalam komuniti ini akan mendapat informasi dan maklumat yang sahih serta bersesuaian dengan kehidupan mereka.

“Pada masa sama, mungkin ada ruang dan peluang untuk kita memajukan komuniti, khususnya dari segi bidang TVET,” katanya.

Beliau berkata, pendidikan dan latihan kemahiran mempunyai potensi untuk dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat dan tidak seharusnya dilihat sebagai bidang yang hanya memberi tumpuan kepada golongan muda.

Katanya, golongan dewasa termasuk warga emas juga boleh diberikan peluang mengikuti latihan kemahiran bersesuaian bagi memperluas pengetahuan serta keupayaan mereka.

Sehubungan itu, penglibatan institusi pendidikan tinggi secara langsung dalam komuniti penting bagi memastikan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki dapat dikongsi dengan masyarakat di luar kampus.

“Hari ini saya melihat di Kampung Bendang Siam program ini cukup memberi kesan yang cukup baik khususnya kepada masyarakat kerana adanya kerjasama, kerana adanya penglibatan, kerana adanya komitmen bersama.

“Kejayaan ini cukup penting bagi kita merangka program-program akan datang yang mungkin lebih bersasar dan juga memberi ruang dan peluang dan impak yang besar kepada masyarakat khususnya,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI