BAGAN SERAI – Penyelidikan universiti tidak seharusnya berakhir dengan penerbitan jurnal atau penghasilan graduan semata-mata, sebaliknya perlu membuktikan impak sebenar kepada masyarakat, negara dan usaha pemuliharaan hidupan liar.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub berkata, perkara itu penting bagi memastikan hasil kajian saintifik dapat dimanfaatkan oleh agensi pelaksana dan pusat pemuliharaan, khususnya dalam menangani ancaman terhadap spesies terancam seperti orang utan.
Menurut beliau, penekanan terhadap impak penyelidikan telah diberikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang bermula tahun ini di mana penyelidik bukan sahaja perlu menyiapkan kajian dan menghasilkan penerbitan akademik, malah perlu melaporkan impak penyelidikan terhadap kerajaan, negara, komuniti serta pihak berkepentingan.
“Jadi bukan hanya menyiapkan, bukan hanya sekadar penerbitan tetapi kemudiannya perlu dilaporkan impak terhadap kajian-kajian yang telah dijalankan sebagai contoh apabila kajian ditutup dua tahun kita akan melihat impaknya selepas tempoh itu.
“Dalam bidang apa sekalipun termasuklah bidang pimat ataupun hidupan liar semua kajian mesti menunjukkan impak yang bakal berlaku dan ianya akan dilihat dan dipantau selepas kajian ini ditutup,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Persidangan Antarabangsa Bukit Merah mengenai Primatologi, Penglibatan Komuniti dan Masa Depan Pemuliharaan (BM PRIMAT2026) di Pulau Orang Utan Bukit Merah, di sini hari ini.
Persidangan sulung yang berlangsung pada 12 hingga 13 Oktober di Bukit Merah Laketown Resort itu dianjurkan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (BMOUIF) bersama Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM), dengan M K Land Holdings Berhad sebagai rakan korporat dan Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) sebagai penaja utama.
Zainal Amin berkata, penilaian impak perlu diteruskan selepas sesuatu penyelidikan selesai bagi melihat sejauh mana hasil kajian memberikan manfaat sebenar.
Katanya, pemantauan susulan selepas penyelidikan ditutup membolehkan keberkesanan kajian dinilai dengan lebih menyeluruh, termasuk dari segi sumbangannya kepada pihak yang melaksanakan usaha pemuliharaan.
“Penyelidikan berkaitan alam sekitar dan hidupan liar di universiti tempatan sememangnya dilaksanakan, termasuk melalui kerjasama secara langsung dengan industri, agensi berkaitan dan organisasi pemuliharaan.
“Kajian berkaitan pemuliharaan orang utan dan hidupan liar lain terus dijalankan oleh institusi pengajian tinggi, termasuk penyelidikan yang memberi tumpuan kepada usaha melindungi spesies berkenaan,” katanya. -MG Perak


