IPOH – Penekanan terhadap Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dalam Belanjawan 2027 memperlihatkan potensi Perak memainkan peranan lebih besar sebagai pemacu pertumbuhan industri negara.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, pembangunan kedua-dua hab berkenaan perlu menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi negeri melalui peningkatan produktiviti, penguasaan teknologi, pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta kewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Beliau berkata, asas kepada perkembangan itu dapat dilihat menerusi prestasi ekonomi Perak yang semakin mengukuh apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri berkembang 2.7 peratus pada 2023, meningkat kepada 4.8 peratus pada 2024 sebelum mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus pada 2025, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Lebih menarik, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan 15.2 peratus pada 2025, sekali gus memperlihatkan kepentingan aktiviti perindustrian dalam menyokong momentum ekonomi negeri. Namun, prestasi itu juga perlu dilihat dalam konteks sumbangan sektor lain seperti perkhidmatan dan pertanian yang terus menjadi sebahagian daripada asas ekonomi Perak.
“Justeru, pengukuhan AHTV dan LuMIC bukan bermakna pembangunan industri Perak bermula dari titik sifar, sebaliknya usaha memperdalam asas perindustrian sedia ada dan membuka ruang kepada aktiviti ekonomi yang lebih kompleks, berteknologi tinggi serta menghasilkan nilai ditambah lebih besar.
“Oleh itu, penekanan dalam Belanjawan 2027 mencerminkan potensi Perak untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Mengulas lanjut, Ridhuan Bos berkata, dari sudut lokasi, AHTV di Tanjung Malim mempunyai kelebihan strategik melalui kedudukannya yang menghubungkan Perak dengan Lembah Klang, sekali gus membuka peluang kepada pengembangan ekosistem automotif, kejuruteraan, teknologi dan rangkaian pembekal komponen.

Beliau berkata, potensi itu boleh diperkukuh melalui pengelompokan industri yang menghubungkan pengeluar utama dengan vendor tempatan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di mana apabila hubungan berkenaan berkembang, manfaat pelaburan berpotensi melangkaui kawasan industri dan meresap ke dalam ekosistem perniagaan tempatan.
“Sementara itu, LuMIC di Lumut dan Manjung menawarkan kelebihan berbeza melalui kedudukan pesisir pantai serta potensi dalam aktiviti maritim, pelabuhan, logistik dan industri berkaitan. Pengukuhan hab ini berpotensi memperluas peluang ekonomi berasaskan perdagangan dan perkhidmatan sokongan industri.
“Kedua-dua hab itu mempunyai fungsi yang saling melengkapi dalam mempelbagaikan struktur ekonomi negeri namun, kelebihan geografi sahaja tidak mencukupi untuk menjadikan Perak destinasi pilihan pelabur kerana keputusan pelaburan turut dipengaruhi kecekapan infrastruktur, bekalan tenaga, ketersediaan tenaga kerja mahir, kos operasi dan kepastian dasar,” katanya.
Jelas beliau, dalam konteks itu, insentif potongan cukai terhadap kos penempatan semula vendor automotif tempatan sehingga RM5 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 berpotensi menggalakkan pengelompokan industri dan memperkukuh hubungan antara pengeluar utama dengan pembekal tempatan.
Katanya, bagaimanapun keberkesanan insentif berkenaan perlu dinilai berdasarkan keupayaannya menjana pelaburan produktif baharu, bukan sekadar mendorong pemindahan operasi sedia ada dari satu lokasi ke lokasi lain.
“Perkara yang lebih penting ialah sejauh mana pelaburan itu meningkatkan kapasiti pengeluaran, keupayaan teknologi dan nilai ekonomi yang kekal dalam negeri.
“Hal ini kerana pertumbuhan industri yang bergantung pada kemasukan pelabur semata-mata berisiko menghasilkan manfaat yang terhad sekiranya syarikat tempatan hanya terlibat dalam aktiviti sokongan bernilai rendah.
“Sebaliknya, penyertaan PMKS dalam pembekalan komponen, kejuruteraan, automasi dan perkhidmatan teknikal boleh membantu membina rantaian nilai domestik yang lebih kukuh,” katanya.
AHTV, LuMIC berpotensi tingkat tenaga kerja mahir
Mengulas mengenai peluang pekerjaan Ridhuan Bos berkata, transformasi itu juga perlu dinilai berdasarkan perubahan struktur pekerjaan.
Katanya, menurut Laporan Sosioekonomi Negeri 2025 oleh DOSM, Perak merekodkan kadar pengangguran Perak 3.5 peratus, berbanding 3.0 peratus pada peringkat nasional, menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperkukuh penyerapan tenaga kerja melalui pertumbuhan industri yang produktif.

“Pembangunan AHTV dan LuMIC berpotensi meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran dalam bidang automotif, kejuruteraan, automasi, teknologi dan logistik.
“Peluang itu perlu dimanfaatkan bagi membuka laluan pekerjaan yang menawarkan kemahiran lebih tinggi, prospek kerjaya lebih baik dan pendapatan yang lebih kompetitif kepada rakyat Perak,” katanya.
Beliau berkata, dalam hal ini, institusi latihan teknikal dan vokasional (TVET), termasuk Politeknik Ungku Omar dan ADTEC, mempunyai peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang sepadan dengan keperluan industri.
Jelasnya, kerjasama antara institusi pendidikan dengan majikan perlu diperkukuh melalui latihan berasaskan industri, peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi mengurangkan ketidakpadanan kemahiran.
“Pada peringkat pelaksanaan, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri menjadi faktor penentu bagi memastikan pembangunan AHTV dan LuMIC tidak terhenti pada perancangan.
“Sokongan dasar industri, insentif fiskal, pembangunan teknologi dan latihan kemahiran perlu bergerak seiring dengan penyediaan tanah, kemudahan asas, infrastruktur serta kelancaran kelulusan di peringkat negeri,” katanya.
Tambahnya lagi, keselarasan itu juga boleh diperkukuh melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan agenda Perak Sejahtera 2030 yang merangkumi pembangunan modal insan, Koridor TVET Malaysia, Program Mesra Pelabur, ekonomi digital serta Hab Maritim dan Pelabuhan Nusantara.
Katanya lagi, peranan agensi seperti InvestPerak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) penting dalam menyelaras keperluan pelabur dengan keupayaan ekosistem tempatan.

“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, kejayaan kedua-dua hab itu juga bergantung pada kemampuan pembangunan industri disokong kemudahan sosial yang mencukupi, termasuk perumahan, pengangkutan pekerja dan kemudahan komuniti.
“Pertumbuhan yang tidak disertai perancangan seimbang berisiko meningkatkan tekanan terhadap infrastruktur setempat dan mengehadkan manfaat yang diterima penduduk,” katanya.
Ridhuan Bos berkata, AHTV dan LuMIC berpotensi menjadi pemangkin kepada fasa baharu pembangunan ekonomi Perak, tetapi potensi itu hanya akan bermakna apabila diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, penguasaan teknologi, penyertaan syarikat tempatan dan pendapatan rakyat yang lebih baik.
Katanya, sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, kejayaan pembangunan tidak seharusnya dinilai berdasarkan besarnya pelaburan yang diumumkan semata-mata, sebaliknya melalui sejauh mana pertumbuhan tersebut memperkukuh daya saing negeri dan membawa kesejahteraan yang dapat dirasai rakyat. -MG Perak


