Laporan karbon, ESG semakin penting untuk tembusi pasaran eksport

IPOH – Penyediaan laporan karbon dan amalan alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG) kini semakin penting bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mahu menembusi pasaran eksport serta mendapatkan pesanan daripada pembeli antarabangsa.

Pengasas Bersama Carbon Next Sdn Bhd, Ray Lim berkata, pengumpulan data berkaitan karbon dan ESG perlu dilakukan sejak awal operasi perniagaan dan bukannya hanya pada penghujung tahun atau ketika syarikat ingin menyertai tender.

Menurutnya, pematuhan terhadap keperluan ESG bukan lagi sekadar nilai tambah, sebaliknya menjadi keperluan penting bagi syarikat yang mahu mendapatkan kontrak, menyertai tender dan menerima pesanan daripada pembeli.

“Usahawan PKS yang ingin mendapatkan tender dan pesanan daripada pembeli perlu membuat persediaan berkaitan ESG, sama ada pada peringkat syarikat mahupun produk.

“Carbon Next sememangnya membantu usahawan PKS di seluruh negara menyediakan laporan berkaitan bagi membolehkan mereka mendapatkan lebih banyak pesanan, selaras dengan trend ESG yang semakin penting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi salah seorang ahli panel forum bertajuk ‘Blueprint Global: Membina Ikon Eksport Berprestasi Tinggi’ sempena Hari Eksport Perak 2026 yang diadakan di Hotel Kinta Riverfront di sini, hari ini.

Mengulas mengenai penyertaan syarikat dalam program berkenaan, Ray berkata, pelanggan Carbon Next terdiri daripada pelbagai kategori, termasuk syarikat tersenarai, syarikat bersaiz sederhana dan PKS yang menjalankan aktiviti eksport.

Laporan karbon, ESG semakin penting untuk tembusi pasaran eksport
Pengasas Bersama Carbon Next Sdn Bhd, Ray Lim pada forum bertajuk ‘Blueprint Global: Membina Ikon Eksport Berprestasi Tinggi’ sempena Hari Eksport 2026 yang diadakan di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 OKTOBER 2026.

Katanya, pihaknya turut membantu PKS daripada pelbagai sektor, termasuk makanan dan minuman serta pembuatan produk seperti perabot.

Tambahnya, kepelbagaian sektor itu menunjukkan bahawa keperluan terhadap pelaporan karbon dan ESG semakin meluas, khususnya bagi perniagaan yang ingin mengembangkan pasaran serta memenuhi syarat pembiayaan tertentu.

“Jika syarikat ingin mendapatkan pembiayaan hijau daripada bank, mereka perlu menyediakan laporan karbon sebagai bukti amalan kelestarian yang dilaksanakan. Langkah itu juga berpotensi membolehkan mereka menikmati kadar faedah yang lebih rendah,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Pereka Bersekutu Certified Industrial Designer (CiDe) di Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), Dzulkhairi Asmat berkata, penjenamaan, reka bentuk dan pembungkusan merupakan antara elemen penting bagi memastikan sesuatu produk mampu menarik perhatian pengguna serta bersaing di pasaran.

Beliau yang juga juri Malaysia Good Design Award berkata, reka bentuk produk perlu mengambil kira identiti jenama, kesesuaian produk, daya tarikan visual serta aspek fungsi dan ergonomik.

“Ramai orang tidak tahu bagaimana sesuatu produk itu boleh kelihatan menarik. Perkara ini penting dalam reka bentuk. Apabila kita melalui sebuah kedai, misalnya, kita tidak tahu sama ada sesuatu makanan itu sedap atau tidak. Lazimnya, penampilan produk yang lebih menarik akan mendapat perhatian terlebih dahulu.

“Kedua, aspek kegunaan dan ergonomik juga penting. Kita perlu memikirkan sama ada sesuatu produk itu boleh digunakan semula selepas digunakan, bagaimana cara penyimpanannya dan sama ada pembungkusannya mudah terkoyak atau terburai.

Laporan karbon, ESG semakin penting untuk tembusi pasaran eksport
Pereka Bersekutu Certified Industrial Designer (CiDe) di Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), Dzulkhairi Asmat pada forum bertajuk ‘Blueprint Global: Membina Ikon Eksport Berprestasi Tinggi’ sempena Hari Eksport 2026 yang diadakan di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 OKTOBER 2026.

“MRM memberikan perhatian kepada pelbagai aspek reka bentuk, termasuk pada peringkat pembungkusan,” jelasnya.

Dzulkhairi berkata, MRM turut memberikan keutamaan kepada produk yang mengambil kira amalan ESG dalam proses pembangunan dan penghasilannya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PUO teraju transformasi TVET mampan melalui kecemerlangan ESG, Lean-Kaizen

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI