Kerjasama pelbagai pihak penting lindungi orang utan

BAGAN SERAI – Usaha melindungi orang utan dan habitatnya memerlukan kerjasama bersepadu antara penyelidik, institusi pemuliharaan, agensi kerajaan serta komuniti dan tidak boleh bergantung pada tindakan satu pihak sahaja.

Pengerusi Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad berkata, perkongsian ilmu, komitmen dan tanggungjawab bersama menjadi asas penting memastikan usaha pemuliharaan primat dapat diteruskan secara berkesan.

“Usaha konservasi memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi penyelidikan saintifik; penjagaan kesihatan dan kebajikan haiwan; pemulihan habitat serta pengurusan konflik antara manusia dengan primat.

“Perkara berkenaan dibincangkan menerusi Persidangan Antarabangsa Primatologi, Penglibatan Komuniti dan Masa Depan Pemuliharaan Bukit Merah (BM PRIMAT2026) yang menghimpunkan penyelidik serta pengamal konservasi untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan BM PRIMAT2026 di Bukit Merah Laketown Resort di sini, baru-baru ini.

Sebahagian peserta Persidangan Antarabangsa Primatologi, Penglibatan Komuniti dan Masa Depan Pemuliharaan Bukit Merah (BM PRIMAT2026) di Bukit Merah Laketown Resort.

Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, perbincangan dalam persidangan itu turut merangkumi aspek tingkah laku dan ekologi primat, perspektif sosial masyarakat, komunikasi pemuliharaan serta peranan zoo dan institusi konservasi dalam melindungi spesies berkenaan.

Jelasnya, perkongsian hasil penyelidikan dan pengalaman daripada pelbagai bidang penting bagi memperluas pemahaman mengenai cabaran pemuliharaan, khususnya dalam melindungi orang utan serta habitat semula jadinya.

“Persidangan ini tidak seharusnya berakhir apabila program selesai, sebaliknya idea dan pengetahuan yang dikongsikan perlu menjadi asas kepada penyelidikan baharu, perkongsian kepakaran serta penambahbaikan amalan pemuliharaan.

“Sehubungan itu, saya berharap BM PRIMAT2026 menjadi permulaan kepada lebih banyak kerjasama antara institusi penyelidikan, organisasi konservasi, agensi kerajaan dan komuniti di Malaysia serta rantau ini,” katanya.

Abdul Latiff turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Sains Malaysia (USM) selaku penganjur bersama, MK Land Holdings Berhad sebagai rakan korporat dan Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) sebagai penaja utama, selain semua organisasi, pembentang dan peserta yang menjayakan persidangan itu.

Beliau berkata, Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah komited terhadap usaha menghubungkan ilmu pengetahuan dengan tindakan pemuliharaan, bagi memastikan primat, habitat dan ekosistem yang menjadi tempat pergantungan hidupan berkenaan terus dilindungi untuk generasi akan datang. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI