LENGGONG – Kerajaan Negeri Perak menyambut baik Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tujuh daripada 10 projek keutamaan yang dikemukakan diluluskan untuk pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), sekali gus menyokong agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara projek yang diluluskan termasuk pembangunan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik di Hospital Raja Permaisuri Bainun, pembinaan kemudahan pendidikan baharu di Sitiawan dan Chemor, Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Sepetang serta pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Proton City.
Menurutnya, kelulusan itu amat bermakna kerana projek-projek berkenaan menyentuh secara langsung keperluan rakyat, khususnya dalam meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik serta memperkukuh aspek keselamatan dan perlindungan daripada risiko bencana.
“Belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini memperlihatkan pengiktirafan kerajaan Persekutuan terhadap potensi Perak sebagai antara negeri yang mampu memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Pengiktirafan itu dizahirkan menerusi perhatian khusus terhadap dua daripada lima nod pertumbuhan utama negeri, iaitu Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).
“Pengumuman untuk memperhebat pembangunan LuMIC sebagai hab maritim dan memperkukuh AHTV sebagai hab automotif serantau memperlihatkan keselarasan antara perancangan pembangunan Kerajaan Negeri dengan keutamaan ekonomi negara.
“Pembangunan kedua-dua kawasan itu akan memperkukuh kedudukan Perak sebagai hab perindustrian utama negara, selain berpotensi menarik pelaburan bernilai tinggi, memperkukuh ekosistem industri dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan program Moh Sukses SPM 2026 Tuisyen Cikgu Saarani Daerah Hulu Perak di Dewan Merdeka, di sini hari ini.
Dalam konteks pembangunan AHTV, Saarani berkata pemberian potongan cukai sehingga RM5 juta bagi kos penempatan semula yang layak kepada vendor automotif milik tempatan sepenuhnya yang berpindah ke kawasan itu merupakan insentif berpotensi mempercepat pembentukan rantaian bekalan industri automotif di Tanjong Malim.
“Selain itu, sebanyak 95 projek dan program baharu turut diluluskan di Perak di bawah Rolling Plan 2 RMK13 dengan siling peruntukan berjumlah RM2.938 bilion, manakala peruntukan bagi tahun 2027 adalah sebanyak RM150.5 juta,” ujarnya.
Beliau berkata, keseluruhan pengumuman dalam Belanjawan 2027 itu diyakini mampu memberikan dorongan tambahan kepada momentum pembangunan negeri, lebih-lebih lagi dengan sokongan pelbagai inisiatif nasional yang memberi tumpuan kepada pengurangan kos sara hidup, pembangunan modal insan, pendidikan, kesihatan dan pengukuhan perusahaan tempatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan 2027: Perak harap projek pindahan air Sungai Perak diberi tumpuan


