IPOH – Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal di Kilometer 284 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Simpang Pulai, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.50 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai tiba di lokasi enam minit kemudian.
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan dua MPV jenis Nissan Grand Livina dan Honda Odyssey dan motosikal jenis Modenas Elegan.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati seorang penunggang motosikal lelaki berusia 57 tahun terperosok di bawah MPV Honda Odyssey, manakala pemboncengnya, seorang wanita berusia 58 tahun, berada di laluan tengah jalan dalam keadaan cedera.
“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir di lokasi mengesahkan penunggang motosikal berkenaan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota kemudiannya memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap dan bagi mengeluarkan mangsa yang terperosok.
“Operasi menyelamat turut menggunakan peralatan air lifting bag dengan bantuan trak penunda bagi mengangkat kenderaan berkenaan.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Sementara itu, Sabarodzi berkata, pembonceng motosikal yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera berkenaan.
“Operasi tamat sepenuhnya jam 6 petang,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penolong jurutera JKR maut terkena kabel telekomunikasi di Gerik


