Tanah runtuh, limpahan air bukit masuk rumah warga emas

BAGAN SERAI – Seorang lelaki warga emas berdepan detik cemas apabila rumahnya dimasuki limpahan air bukit bersama tanah susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Merah, Kampung Bukit Merah, di sini malam ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar jam 7.05 malam.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan tersebut.

“Setibanya di lokasi, didapati bumbung tambahan di bahagian belakang rumah mangsa telah runtuh manakala limpahan air bersama tanah memasuki kediaman terbabit.

Tanah runtuh, limpahan air bukit masuk rumah warga emas di Bagan Serai
Keadaan rumah seorang lelaki warga emas yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Merah, Kampung Bukit Merah malam ini. JBPM Perak

“Mangsa telah dibantu keluar dari rumah berkenaan oleh orang awam sebelum ditempatkan sementara di sebuah kedai yang terletak di hadapan kediamannya.

“Anggota bomba yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap kemudian menjalankan pemantauan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bomba bersama pihak polis turut menasihati mangsa supaya berpindah ke tempat lebih selamat berikutan keadaan hujan yang masih berterusan serta risiko berlakunya pergerakan tanah susulan.

“Tindakan pemantauan dan nasihat pemindahan itu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sekiranya keadaan tanah di kawasan berkenaan terus tidak stabil,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penunggang motosikal maut terperosok bawah MPV, pembonceng cedera kemalangan tiga kenderaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI