Pasaran getah dijangka diniaga lebih tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR – Pasaran getah dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan berikutan jangkaan pengeluaran yang lebih rendah serta aktiviti penyimpanan semula.

Bekas Presiden Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low berkata, banyak kawasan pengeluaran getah kini dinaiki air dan aktiviti menoreh getah merosot sebanyak 40 kepada 50 peratus di kebanyakan tempat.

Oleh itu, terdapat kejatuhan dalam pengeluaran getah, yang sepatutnya menaikkan harga, bergantung kepada selera permintaan, katanya.

“Jelas juga nampaknya terdapat sedikit kekurangan minat kerana harga tidak bergerak seiring dengan keadaan yang semakin memburuk dari minggu ke minggu.

“Bagaimanapun, dengan mengambil kira musim luruh pokok getah yang akan bermula sejurus selepas monsun yang panjang ini, yang bermakna hasil susu getah yang lemah dalam beberapa bulan akan datang, kami menjangkakan permintaan stok yang lebih baik pada minggu ini akan mendorong kenaikan harga,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah tempatan diniagakan lebih tinggi, dipengaruhi oleh prestasi niaga hadapan getah serantau dan turun naik harga minyak mentah.

Seorang peniaga berkata, pasaran getah Kuala Lumpur melonjak pada minggu dagangan terakhir 2023, dirangsang oleh keuntungan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, menjejaki jangkaan yang meningkat bahawa Amerika Syarikat akan mula memotong kadar faedah menjelang 2024.

Katanya lagi, pengumuman terbaru China mengenai langkah-langkah rangsangan, ditambah pula dengan asas pasaran yang menggalakkan terutamanya mengenai kebimbangan bekalan getah yang lebih ketat berikutan cuaca basah di negara pengeluar juga menambah sentimen kenaikan harga dalam pasaran.

“Namun begitu, peningkatan selanjutnya telah dihadkan oleh ringgit yang lebih mantap berbanding dolar US, harga minyak yang tidak menentu dan ketegangan geopolitik yang berterusan,” tambahnya.

Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR20 menokok 26.5 sen untuk menutup minggu ini pada 700.5 sen sekilogram berbanding 674.0 sen sekilogram yang disaksikan semasa minggu sebelumnya.

Sementara itu, lateks pukal menambah 5.5 sen untuk ditutup pada 540.0 sen sekilogram daripada 534.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 703.5 sen sekilogram manakala lateks pukal ialah pada 542.5 sen sekilogram.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI