Pameran MATTA Perak 2024 sasar jualan RM23 juta

IPOH – Selepas berjaya memperoleh jualan RM23 juta pada penganjuran Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Perak edisi Ogos 2023, pameran pelancongan itu sekali lagi diadakan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini, Mac depan.

Pengerusi Penganjur MATTA Perak, Wendy Shin berkata, pameran dijadual pada 9 dan 10 Mac itu bermula pada 10 pagi hingga 9 malam dengan menempatkan 122 reruai pameran yang menawarkan pelbagai pakej destinasi pelancongan domestik dan antarabangsa.

“Pada edisi ke-32 penganjuran Pameran MATTA tahun ini, kita turut menyasarkan jualan berjumlah RM23 juta sama seperti penganjuran sebelum ini.

“Kami juga optimis mampu mencapai sasaran kedatangan 20,000 pengunjung sepanjang dua hari pameran,” katanya pada sidang media di pejabat MATTA Perak di sini hari ini.

Shin berkata, pengunjung yang membeli dan membayar minimum RM300 juga layak menyertai cabutan bertuah dan memenangi hadiah menarik seperti baucar pelancongan MATTA, tiket penerbangan serta baucar penginapan hotel.

“Di samping itu, selaras dengan kempen Tahun Melawat Perak 2024, MATTA Perak akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Tourism Perak untuk menjayakan kempen ini.

“Kami percaya pameran pelancongan ini dapat menggalakkan lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI