Kebakaran kediaman Koo Ham: Seorang lelaki ditahan di Shah Alam

IPOH – Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes kebakaran melibatkan kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar dekat sini, awal pagi Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia sekitar 30-an itu ditahan kira-kira jam 4 pagi tadi di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, dua telefon bimbit turut dirampas daripada lelaki berkenaan.

“Permohonan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 16 Januari depan telah dibuat ke atas suspek.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api),” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019- 392 7837 bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian awal pagi Rabu lalu, media tiga kenderaan milik Koo Ham terbakar dalam satu kejadian kebakaran di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar.

Kebakaran itu membabitkan sebuah kereta Mercedes Benz musnah manakala dua kenderaan lain jenis Honda CR-V rosak di bahagian bumper belakang serta bahagian badan sebelah kanan dan Toyota Hilux di bahagian hadapan pacuan empat roda tersebut.

Turut ditemui di lokasi kebakaran adalah botol disyaki mengandungi molotov cocktail.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak juga telah mengambil 11 sampel di lokasi kebakaran yang berlaku di kediaman Koo Ham bagi siasatan lanjut. – MG Perak

Artikel berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI