Awas peniaga ‘naik harga’ sempena TMP 2024, anda dipantau!

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memantau aktiviti jual beli peniaga sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemantauan itu akan dilaksanakan di kawasan tumpuan pelancong di sekitar negeri ini.

Menurutnya, pemantauan itu dilakukan untuk memastikan pelancong-pelancong dilindungi daripada peniaga yang cuba mengambil kesempatan dengan mengenakan harga tinggi pada TMP 2024.

“Baru-baru ini kita mengambil tindakan di Pulau Pangkor, apabila ada rungutan pelancong memaklumkan harga makanan yang terlalu tinggi.

“Kita terus menjalankan siasatan dan mengambil tindakan walaupun tiada aduan rasmi.

“Kes itu masih dalam siasatan dan mungkin kita akan dakwa peniaga yang terlibat,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Perak di Kawasan Perindustrian IGB Chemor, di sini, pada Selasa.

Pada 5 Januari lalu, tular di aplikasi TikTok berhubung sebuah premis menjual makanan hasil laut yang didakwa mengenakan harga yang tidak setimpal kepada pelanggan di Teluk Nipah, Pulau Pangkor.

Susulan video tular itu, KPDN Perak bertindak memeriksa premis makanan tersebut dalam Ops Samar yang dilakukan selama dua hari bermula Sabtu, iaitu pada jam 6 petang sehingga 2 pagi.

Sementara itu, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, KPDN Perak akan terus meningkatkan penguatkuasaan dalam memastikan bekalan barangan asas mudah diperolehi.

“Kita akan adakan Skim Kawalan Harga sempena perayaan tersebut melibatkan barangan-barangan yang akan ditentukan pihak Kementerian.

“Sehubungan itu, kita mengingatkan kepada peniaga jangan sesekali mengambil kesempatan dengan melakukan kesalahan etika pada musim perayaan dan sempena TMP 2024,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPDN periksa premis jual ikan siakap bakar RM75 di Pulau Pangkor

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI