IPOH – Walaupun hanya sekadar jiran dan tidak mempunyai pertalian darah, namun Nor Suraya Sakunthala Abdullah, 53, sentiasa mengambil berat perihal wanita warga emas yang mendiami di sebuah rumah daif dengan dipenuhi sampah sarap dan takungan najis di Flat Taman Silibin, di sini.
Nor Suraya yang mendiami pangsapuri itu sejak 23 tahun lalu itu berkata, malah penduduk sekitar menanggap wanita berumur 77 tahun itu sebagai ibu mertuanya kerana keakraban mereka.
Dia yang bekerja di sebuah kilang berhampiran berkata, walaupun pendapatanya tidak seberapa namun dia tidak lokek membelikan makanan dan adakalanya ubat-ubatan kepada ibu dan anak berusia 46 tahun itu yang disapa ‘Wan’.
Menurutnya, semuanya berubah apabila kesihatan wanita itu mula teruk akibat penyakit darah tinggi sehingga menyebabkan anak lelakinya itu berhenti kerja dengan alasan mahu menjaga ibunya sejak lebih setahun lalu.
“Jika tidak menjenguk, kadang-kadang saya akan menelefon atau bertanyakan khabar kepada anak tentang ibunya melalui WhatsApp.
“Dalam minggu lepas, saya bersama seorang lagi jiran naik ke atas untuk menjenguk sendiri dua beranak itu di rumah mereka. Pada awalnya anaknya tidak membenarkan kami masuk.
“Selepas saya berkeras dan akhirnya berjaya untuk ke rumah, saya sangat terkejut melihat keadaan kediaman mereka terutama ibu ini. Saya tengok mereka tinggal dalam keadaan terlalu daif,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Flat Taman Silibin, dekat sini, pada Khamis.
Nor Suraya memberitahu, dua lagi anak kepada wanita itu yang tidak tinggal bersama ada kalanya datang membersihkan rumah berkenaan.
Katanya, namun disebabkan beberapa faktor termasuk masalah dari segi saliran pembentungan, keadaan rumah tersebut kembali kotor.
Tambah Nor Suraya, dia juga pernah meminta agar Wan menjaga kebersihan rumahnya itu namun, lelaki itu memberi alasan tidak mampu melakukannya seorang diri ekoran masalah tekanan jiwa atau mental yang dihadapinya.
“Hari ini saya sangat bersyukur apabila pihak kerajaan dapat membela nasib mereka terutama ibu kepada Wan ini. Alhamdulillah, saya rasa sangat lega untuk mereka,” ujarnya lagi.
Terdahulu, dalam lawatan berkenaan, Saarani berkata wanita warga emas itu akan ditempatkan ke institusi bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain menawarkan anak lelakinya itu untuk tinggal sementara di Anjung Singgah di bawah kendalian Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Pada Rabu, sebuah agensi media menyiarkan laporan berita tentang kedaifan kehidupan dua beranak apabila tinggal dalam persekitaran kediaman yang dipenuhi sampah sarap, termasuk takungan najis di Flat Taman Silibin, dekat sini.
Media itu melaporkan, Erwan Dahari, 46, terpaksa berhenti kerja demi menjaga ibunya Miram Kadir, 77, yang uzur di rumah yang didiami mereka sejak tujuh tahun lalu itu.
Selain tidur tanpa beralaskan tilam, bantal dan bantal, keadaan rumah yang tidak dibayar sewa itu juga dilaporkan dalam keadaan uzur apabila tampias air hujan sering memasuki rumah selain tandas yang tersumbat.
Kerajaan negeri juga dalam respons akan menyalurkan pelbagai bantuan melalui JKM termasuk bantuan bulanan berjumlah RM900 kelolaan JKM, selain daripada bantuan RM300 yang sudah disalurkan menerusi Tabung Bantuan Segera (TBS). -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tinggal rumah dipenuhi sampah, najis: Dua beranak ditempatkan di institusi JKM