SAR mangsa tanah runtuh di Cameron Highlands diteruskan pagi ini

CAMERON HIGHLANDS, 27 Jan (Bernama) — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa insiden tanah runtuh di Kampung Raja, Blue Valley, di sini disambung semula pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Md Gezani Md Ghazi berkata operasi bermula pada 8.30 pagi dengan melibatkan 158 anggota serta pegawai dari Pahang, Perak dan Selangor.

“SAR turut disertai pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya,” katanya kepada Bernama di Pos Kawalan Bomba di lokasi insiden itu hari ini.

Beliau berkata dua ekor anjing pengesan (K9) JBPM turut digerakkan bagi membantu operasi yang menumpukan sektor tengah runtuhan berhampiran lokasi dua mayat mangsa ditemukan semalam, dalam radius 50 meter.

Menurut Md Gezani pemantauan oleh pihak JMG di lokasi setakat ini mendapati tiada pergerakan tanah baharu, namun operasi menyelamat terpaksa dihentikan sekiranya berlaku hujan lebat.

— LAGI

 

BOMBA-TANAH RUNTUH 2 (AKHIR) CAMERON HIGHLANDS

 

Tinjauan Bernama mendapati pasukan SAR dilihat membawa pelbagai peralatan menggali seperti cangkul, kit barangan asas serta pengusung dalam keadaan gerimis.

Mereka perlu berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk menuju ke lokasi runtuhan berikutan lokasi berkenaan tidak dapat diakses menggunakan kenderaan akibat berbukit.

Semalam, dua daripada lima mangsa yang tertimbus berjaya ditemukan dan telah dibawa keluar dari kawasan runtuhan.

Pada kira-kira 2.40 pagi semalam, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita dikhuatiri tertimbus selepas dua rumah pekerja yang dihuni kesemua mangsa ditimbus dalam insiden tanah runtuh itu.

— BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI