MP Bukit Gantang sedia bantu kerajaan tangani kos sara hidup

IPOH – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bersedia menggalas tanggungjawab untuk membantu kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, sebelum ini beliau telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelan yang boleh menyelesaikan masalah itu.

Syed Abu Hussin berkata, beliau bersedia untuk membantu kerajaan dalam menyumbangkan idea dan tenaga dalam soal menangani kos sara hidup, namun beliau harus ditempatkan di dalam mana-mana jawatan sesuai yang dapat merentasi pelbagai kementerian.

“Saya bersedia untuk menerima tanggungjawab ini dengan syarat saya diberikan kuasa untuk melaksanakan dalam masalah ini.

“Saya boleh membantu untuk menyelesaikan masalah harga barang, kartel dan sebagainya.

“Jika lantik saya sebagai badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saya tidak boleh lakukannya. Sebaliknya saya perlu ada punca kuasa dan insya-ALLAH saya akan tunjukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Jualan Termurah Barangan Basah dan Kering yang disempurnakan Perdana Menteri di Taman Klebang Restu, di sini, pada Ahad.

Ketika berucap program berkenaan, Anwar mengumumkan Syed Abu Hussin dilantik akan mengetuai salah satu kluster atau jawatankuasa di bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).

Ia sebagai usaha untuk menyumbangkan idea dan tenaga dalam membantu kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.

Sementara itu, bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, antara langkah awal yang akan diambil olehnya adalah membantu kerajaan untuk menstabilkan harga beras di pasaran.

“Insya-ALLAH kita akan tunjukkan kepada rakyat dan kepada kerajaan bahawa ada kaedah-kaedah yang boleh dibuat untuk menstabilkan harga barang-barang makanan utama,” jelas beliau. -MG Perak.

 

Artikel Berkaitan:

MP Bukit Gantang ketuai kluster di bawah NACCOL – Anwar

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI