Indeks Harga pengeluar Disember 2023 turun -1.3 peratus

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, terus menurun kepada negatif 1.3 peratus pada Disember 2023 berbanding negatif 1.5 peratus pada November 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan ini disebabkan oleh sektor perlombongan yang menurun sebanyak negatif 3.4 peratus (November 2023: -4.7%), disebabkan oleh penurunan kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli (-7.8%) dan pengekstrakan petroleum mentah (-1.9%).

Sektor pembuatan terus turun negatif 1.5 peratus berbanding negatif 1.4 peratus pada November 2023, disebabkan oleh indeks pembuatan kok & petroleum bertapis (-12.3%) dan pembuatan produk makanan (-4.2%).

Sektor bekalan elektrik & gas juga turun negatif 0.6 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.

Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 1.3 peratus selepas penurunan negatif 0.4 peratus pada November 2023 disebabkan oleh kenaikan dalam indeks pengeluaran ternakan (6.3%) dan perikanan (3.8%).

Pada masa sama, indeks bekalan air juga meningkat 0.4 peratus pada bulan ini.

Tambahnya, pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan terus menurun negatif 0.2 peratus pada Disember 2023 berbanding negatif 0.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Kecuali sektor pertanian, perhutanan & perikanan yang kekal tidak berubah, semua sektor lain mencatatkan penurunan pada bulan ini.

Sektor perlombongan jatuh kepada negatif 1.6 peratus (November 2023: -4.7%) dengan indeks pengekstrakan petroleum mentah (-5.1%) mencatatkan penurunan.

Pada masa yang sama, sektor pembuatan susut negatif 0.1 peratus (November 2023: -0.5%), dipengaruhi oleh indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-1.8%) dan Pembuatan produk makanan (-0.4%).

Bagi sektor utiliti, indeks bekalan elektrik & gas dan bekalan air masing-masing menurun sebanyak negatif 0.3 peratus dan negatif 0.4 peratus.

Mengulas mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 0.4 peratus pada Disember 2023 (November 2023: 0.3%), dengan indeks bahan makanan & makanan untuk binatang mencatatkan peningkatan 4.3 peratus.

Indeks barang siap naik 1.1 peratus (November 2023: 1.7%), disumbangkan oleh peningkatan dalam kelengkapan modal (2.0%).

Sebaliknya, indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen menurun negatif 3.0 peratus (November 2023: -3.4%) disebabkan oleh indeks bahan api yang diproses & pelincir (-13.8%) dan bahan & komponen untuk pembuatan (-2.2%).

Pada asas bulanan, indeks barang siap dan bahan perantaraan, bekalan & komponen masing-masing meningkat sebanyak 0.3 peratus dan 0.2 peratus pada bulan ini.

Manakala indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya pula turun negatif 2.3 peratus.

Pada suku tahun keempat 2023, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan penurunan negatif 1.0 peratus (ST3 2023: -1.4%).

Penurunan ini disebabkan oleh sektor perlombongan (-2.5%), pembuatan (-1.2%) dan bekalan elektrik & gas (-0.5%).

Sebaliknya, indeks pertanian, perhutanan & perikanan dan bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 1.6 peratus dan 0.9 peratus.

Sementara itu, perbandingan suku tahun ke suku tahun menunjukkan bahawa IHPR juga turun perlahan negatif 0.3 peratus berbanding 0.2 peratus pada suku tahun ketiga 2023. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan:

Inflasi negara kekal 1.5 peratus pada Disember 2023 – DOSM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI