Budak 8 tahun maut ditimpa dinding dapur rumah

BALING – Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut ditimpa dinding simen dapur rumahnya yang masih dalam pembinaan dalam kejadian di Kampung Padang Lalang Besah, Mukim Tawar di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, mangsa, Wan Abdul Aziz Wan Mohd Sholehhuddin, 8, dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Air Tawar di sini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan mendapati mangsa sedang bermain di ruang tambahan dapur rumah mereka yang masih dalam pembinaan bersama adik lelakinya berusia empat tahun.

Jelas beliau, ketika kejadian bapa mangsa bekerja di sebuah kilang di Kulim manakala ibunya sedang memasak selain telah menegur dua anaknya itu agar tidak bermain di ruang tambahan baharu yang dibina suaminya.

“Bagaimanapun, teguran dan amaran ibu mereka tidak dipedulikan sebelum wanita itu tiba-tiba terdengar bunyi runtuhan kuat dari kawasan pembinaan itu.

“Sebaik tiba wanita itu mendapati seluruh bahagian belakang badan anaknya iaitu Wan Abdul Aziz ditimpa dinding simen yang dibina daripada batu bata.

“Manakala seorang lagi mangsa turut ditimpa runtuhan sama namun bukan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, wanita itu kemudian menghubungi suaminya bagi memaklumkan kejadian sebelum meminta bantuan jiran untuk menghantar kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Tawar.

“Bagaimanapun, doktor di klinik tersebut mengesahkan Wan Abdul Aziz telah meninggal dunia manakala adiknya hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada hari ini.

“Kes disiasat bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001,” kata beliau. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI